Kerajaan PN digesa serius kawal harga barang sempena Aidilfitri


Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar lebih peka dan serius dalam usaha mengawal harga barang sempena musim perayaan. 
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi perayaan Aidilfitri, semalam.
Menurut Edry, SHMMP yang dikeluarkan kerajaan PN itu menyenaraikan hanya 11 barang kawalan berbanding 27 di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. 
“Walaupun sambutan Aidilfitri tahun ini akan disambut secara sederhana dan terkawal disebabkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akibat wabak Covid-19, penggunaan barang tetap tinggi sama ada untuk penggunaan isi rumah keluarga mahupun perniagaan sempena Aidilfitri. 
“Ketika pendapatan rakyat yang berkurang dan rakyat mempunyai kurang wang untuk berbelanja, sepatutnya senarai barang kawalan ditambah dan bukannya dikurangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Malah, katanya, SHMMP tersebut turut memendekkan tempoh penguatkuasaan selama 15 hari berbanding di bawah kerajaan PH selama 30 hari.
Tempoh yang terlalu singkat itu, kata Edry, akan menyebabkan kegagalan pelaksanaan kawalan harga. 
“Lebih pendek tempoh diberikan kepada golongan peniaga untuk patuh kepada harga maksimum yang ditetapkan terutamanya apabila harga pasaran semasa yang lebih tinggi. 
“Lebih pendek juga tempoh untuk pihak penguatkuasa untuk memastikan kepatuhan golongan peniaga terhadap harga kawalan.
“Akhirnya ia akan membawa kegagalan kepada SHMMP Aidilfitri kali ini dan membebankan rakyat sendiri,” ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor. 
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan PN agar serius mengawal harga barang demi kepentingan rakyat. 
“Ini bukan sahaja penting ketika waktu perayaan namun ketika negara masih di dalam PKPB. 
“Jelas berdasarkan pemerhatian dan rungutan rakyat bahawa harga barangan naik melonjak tinggi kerana masalah bekalan barangan yang juga gagal diselesaikan oleh pihak kerajaan ketika krisis Covid-19,” tegasnya. 


No comments: