Semalam adalah nasib malang buat Mohamad Amri, apabila beliau bersama kira-kira 50 lagi rakannya diminta bercuti tanpa gaji selama tiga bulan dari syarikat tempat beliau bekerja.
Amri, 45, adalah seorang pengurus pemasaran di sebuah syarikat agensi pelancongan di Subang yang sedang meningkat naik di negara ini.
Namun, akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau dan rakan-rakannya terpaksa diberikan cuti tanpa gaji. Dari 75 kakitangan, syarikatnya hanya mampu mengekalkan 25 orang sahaja.
Dengan bercuti tanpa gaji, Amri kehilangan RM8,000 sebulan yang selama ini menjadi satu-satunya sumber pendapatan untuk keluarga kerana isterinya tidak bekerja.
Itulah sebahagian nasib rakyat negara ini dan seluruh dunia selepas Covid-19 melanda.
Menurut laporan eksklusif dari The Sun hari ini, Malaysia dijangka akan mencipta rekod baru tidak lama lagi apabila hampir sejuta rakyatnya dijangka tidak mempunyai pekerjaan penghujung tahun ini ekoran wabak Covid-19.
Menurut akhbar itu, ianya dijangka memecahkan rekod yang dicatatkan pada tahun 1986 apabila kadar mereka yang tidak mempunyai pekerjaan adalah 7.4%.
Menurut beliau, kebanyakan majikan akan membekukan pengambilan pekerja baru sehinggalah mereka yakin dengan halatuju ekonomi.
Pada bulan Mac sahaja, mereka yang kehilangan pekerjaan adalah 15,000 orang, kata beliau berdasarkan data dari Skim Insuran Pekerjaan.
Kadarnya dijangka akan naik kepada 27,000 pada bulan April.
Jika PKPB berterusan, orang semacam Amri dijangka semakin ramai. Selepas cuti tanpa gaji sehingga Julai ini, majikan beliau dijangka akan meneruskan cuti itu.
Ketika itu, Amri dan lain-lain akan mencari peluang pekerjaan di negara ini berebut dengan mereka yang baru tamat belajar samada di sekolah atau universiti.
Industri pelancongan termasuk perkapalan, tiket, penerbangan, hotel dan seumpamanya antara yang paling teruk terkesan akibat Covid-19.
Bukan kerana PKP sahaja tetapi yang lebih besar adalah orang ramai takut untuk bergerak ke mana-mana.