KERAJAAN MUHYIDDIN, KERAJAAN YANG BERMORAL RENDAH...



Selain rapuhnya kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin kerana hanya ada majoriti dua undi di Parlimen, adanya “enam jahaman” dalam kumpulan mereka yang menyokongnya turut menjadi persoalan besar di kalangan masyarakat ketika ini.
Dengan melambakkan jawatan menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC dan duta bertaraf menteri kepada penyokong-penyokongnya, kemampuan hanya memperolehi sokongan 113/222 jumlah Ahli Parlimen juga adalah sesuatu yang sungguh memalukan buat Muhyiddin.
Dalam hal ini, cuba bayangkan apa jadi jadi jika beliau tidak melakukan pemberian jawatan dan kedudukan kepada Ahli-Ahli Parlimen tersebut?
Mampukah beliau bertahan sehingga sekarang?
Dengan ini juga bermakna hakikat bahawa Muhyiddin tidak ada majoriti sejak awal lagi semakin sukar untuk disanggah.
Sokongan “cukup-cukup makan” yang ada padanya, itu pun setelah melambakkan jawatan serta kedudukan, sebagaimana beberapa kali disebut sebelum ini, adalah keadaan yang tidak pernah dialami oleh mana-mana Perdana Menteri selain Muhyiddin.
Realitinya, kerajaan PN yang juga pertama kali gabungan tidak berdaftar menjadi kerajaan dan dipimpin oleh Muhyiddin ini, adalah yang paling lemah serta rapuh dalam sejarah negara.
Lebih daripada itu, yang turut mengaibkan lagi ialah daripada 113 sokongan yang ada itu, enam daripadanya adalah Ahli Parlimen yang sedang didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram.
Kumpulan yang disebut “enam jahanam” itu ialah Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Najib Razak (Pekan), Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya), Abdul Azeez Rahim (Baling), Ahmad Maslan (Pontian) dan Bung Mokhtar Radin (Kinabatangan).
Kesemua mereka sedang menghadapi perbicaraan dengan ada antaranya masih di peringkat pendakwan dan selebihnya sudah dalam peringkat membela diri.
Walaupun kita selalu berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak dianggap bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah, tetapi majoriti rakyat secara umumnya berpendapat kes-kes mereka itu adalah kes yang “straightforward” dan hampir pasti lekat dengan sabitan bersalah apabila sampai waktunya nanti.
Dengan yang demikian, tidakkah kerajaan pimpinan Muhyiddin ini boleh dianggap moralnya begitu rendah di mata rakyat?
Persoalan lain ialah apa jadi kepada kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang majoritinya sekarang hanya dua jika dua atau lehih daripada “enam jahanam” itu didapati bersalah oleh mahkamah?
Dalam erti kata lain, pentingnya “enam jahanam” kepada jangka hayat Muhyiddin sebagai Perdana Menteri adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan begitu saja.
Selain Muhyiddin sedar pentingnya “enam jahanam” itu kepada kedudukannya sebagai Perdana Menteri, “enam jahanam” juga turut sama pentingnya mereka kepada kedudukan Muhyiddin.
Ini bermakna, selain tekanan untuk melepaskan mereka itu boleh jadi sentiasa hebat dan diperhebatkan, kebimbangan ramai juga apakah Muhyiddin benar-benar mampu sepanjang masa mengelakkan dirinya untuk tidak campurtangan dalam kes mereka itu? 
(ShahbudinHusin 21/05/2020)