Pengumuman kerajaan menyenaraikan hanya 11 jenis barangan yang terlibat dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) pada musim perayaan kali ini berbeza dengan jumlah senarai kawalan harga barangan pada tahun lalu.
Tahun lalu, Kementerian Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan kawalan harga kepada 27 jenis barangan yang mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat.
Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika itu mengumumkan pertambahan senarai barangan melibatkan ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering.
Malah, tempoh skim ketika itu juga berkuatkuasa selama 30 hari yang bermula pada 21 Mei hingga 19 Jun, merangkumi 15 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 14 hari selepas hari perayaan.
Perkara tersebut amat berbeza dengan apa yang diumumkan kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN) ketika ini yang hanya menetapkan tempoh kuat kuasa selama 15 hari bermula hari ini sehingga 3 Jun.
Perkara tersebut mendapat perhatian ramai yang mula membandingkan senarai skim SHMMP tahun ini dengan tahun lalu.
Memetik pengguna twitter Syo-kay, dia berkata, “Daripada 27 dikurangkan tinggal 11 barang sahaja!,” tulisnya.
Ia turut menarik perhatian peguam, Syahredzan Johan yang membalas ciapan twitter tersebut dengan berkata tiada satu pun jenis ikan yang tersenarai dalam 11 jenis barangan yang diumumkan.
“Dah la lambat, kuat kuasa 4 hari sebelum raya vs PH dua minggu sebelum raya,” tulisnya.
Terdahulu, Menteri KPDNHEP, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, 11 barangan tersebut termasuk ayam, daging lembu, daging kerbau, telur, daging kerbau, dan kelapa.
Beliau berkata, pelaksanaan skim itu juga melibatkan tiga perayaan iaitu Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai, yang akan disambut tidak lama lagi.