Terdesak… Gerabak keretapi dijadikan wad isolasi di India



Wanita India memakai topeng sebagai langkah berjaga-jaga penularan wabak Covid-19. (Gambar AP)

Susulan peningkatan pesakit Covid-19 di India, gerabak kereta api diubah suai menjadi wad isolasi.

Menurut laporan Gulf News, pekerja membuat semburan nyahkuman di gerabak kereta api yang akan digunakan sebagai wad bagi menempatkan pesakit pandemik itu.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif, Northeast Frontier Railway (NFR) sudah memulakan mengubah gerabak kenderaan itu kepada wad isolasi di Depoh Penyelenggaraan Gerabak di Kamakhya dan Guwahati.
Langkah itu diambil selepas mendapat nasihat pakar perubatan di NFR Central Hospital di Maligaon.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak berkenaan memaklumkan setiap kabin dalam gerabak itu boleh menempatkan seorang pesakit.
“Terdapat 9 kabin di dalam satu gerabak.
“Tempat meletak botol minuman ditambah dan soket elektrik serta beberapa kelengkapan perubatan disediakan,” katanya.
Kata kenyataan itu lagi, langsir plastik dipasang antara dua kabin untuk tujuan pengasingan itu.
“Satu daripada empat tandas dalam gerabak itu diubah kepada bilik mandi.
“Penebat juga diletakkan di atas bumbung dan tepi tingkap gerabak itu bagi mengurangkan suhu di dalam wad berkenaan.
Terdahulu, Menteri Kereta Api Piyush Goyal membuat ciapan menerusi Twitter mengumumkan inisiatif itu dalam usaha memerangi Covid-19.
Sementara itu, Naib Presiden M Venkaiah Naidu merakamkan penghargaan atas inisiatif pihak berkenaan.
“Usaha ini menggambarkan penyelesaian inovatif mampu membantu kita dalam memerangi koronavirus,” katanya menerusi Twtitter.

No comments: