Arahan kementerian Rina kepada wanita menjadi berita antarabangsa

Arahan kementerian Rina kepada wanita menjadi berita antarabangsa



Tindakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diterajui Datuk Seri Rina Harun yang mengeluarkan beberapa panduan kepada suri rumah untuk mengelakkan pergaduhan bersama pasangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi berita antarabangsa.
Media UK, Independent semalam melaporkan, ekoran panduan tersebut kerajaan Malaysia menghadapi kritikan meluas dari kalangan rakyat dan pertubuhan wanita yang menyifatkan ia berbau ‘sexist’.
Antara panduan yang dikeluarkan KPWKM dalam satu hantaran dalam bentuk poster di instagram berkata, wanita perlu mengelakkan dari menyindir pasangan dan sentiasa amalkan sikap bertolak ansur serta menghormati antara satu sama lain.
Dalam panduan tersebut, kementerian itu juga menawarkan tips menegur pasangan dengan menggunakan salah satu suara kartun Jepun yang popular dalam kalangan kanak-kanak.
“Jika melihat pasangan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak kita, elakkan dari berleter – gunakan perkataan ‘humorous’ seperti ‘cara sidai baju macam nilah sayangku’ (tiru nada Doraemon dan diikuti dengan gelak manja!),” nasihat kementerian itu.
Tan Heang Lee dari Women’s Aid Organisation dilaporkan memberitahu media bahawa poster-poster berkenaan secara stereotaip menggambar wanita sebagai kaki leter dan bersikap seperti tuan.
Ia juga katanya, menggambarkan bahawa menjadi tanggungjawab wanita supaya berubah untuk mengelakkan konflik dalam rumah tangga dan ia adalah berat sebelah.
All Women’s Action Society, menurut laporan Independent itu, turut mengkritik panduan dan nasihat KPWKM itu dengan berkata bahawa wanita mempunyai banyak tugas yang perlu diselesaikan dalam tempoh PKP, tidak perlulah dibebani dengan tekanan supaya mengenakan mekap dan perlu kelihatan cantik.
“Wanita juga manusia – bukan objek atau komoditi,” kata pertubuhan itu dipetik.
Semalam KPWKM menarik balik poster beberapa panduan kepada suri rumah untuk mengelakkan pergaduhan bersama pasangan sepanjang tempoh lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam satu kenyataan, kementerian berkenaan berkata, pihaknya memohon maaf sekiranya beberapa tips yang dikongsikan tidak bersesuaian dan menyentuh sensitiviti golongan tertentu serta akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.