KUALA LUMPUR – Seramai 510 gelandangan telah diselamatkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula bagi membendung penularan Covid-19.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, mereka kini ditempatkan buat sementara waktu di empat pusat penempatan di sekitar Kuala Lumpur sehingga 14 April ini.
Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif menyelamatkan golongan gelandangan bersama enam agensi lain bermula 26 Mac lalu hingga semalam.
Menurutnya, sepanjang menjalankan operasi itu pihaknya mengenal pasti14 lokasi panas bagi gelandangan menjadikan tempat bermalam.
“Gelandangan ini terdiri warga tempatan dan warga asing dari Indonesia, Myanmar, Vietnam, Jepun, India, Syria, Mesir, Sri Lanka, Korea, Pakistan dan Somalia.
“Mereka diasingkan antara lelaki dan wanita manakala bagi gelandangan yang berkeluarga dan memiliki anak kecil ditempat di Anjung Singgah.
“Mereka yang diselamatkan ini ditempatkan di tempat dewan serbaguna iaitu di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Pusat Komuniti Setiawangsa, Dewan Serbaguna Alam Damai dan Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir,” katanya.