Korban Covid-19 kini 8 orang, jumlah tenat di ICU meningkat .



Malaysia mencatatkan lapan kematian akibat jangkitan Covid-19 setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan terbaru hari ini mengesahkan empat lagi kematian akibat wabak itu.
Ia melibatkan seorang wanita berusia 79 tahun yang meninggal dunia pada 18 Mac lalu, dan anak perempuannya yang berusia 40 tahun yang meninggal dunia hari ini.

Noor Hisham berkata, wanita berusia 40 tahun itu dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 18 Mac selepas mengalami demam dan batuk sejak 7 Mac.

Beliau disahkan positif COVID pada 19 Mac 2020 dan diberi bantuan pernafasan pada hari yang sama setelah didapati keadaan kesihatan beliau semakin merosot. Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 tengah hari pada 21 Mac 2020," katanya.

Berkenaan kematian ibunya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, kelambatan berkenaan laporan kematian kerana hospital swasta yang merawatnya menunggu keputusan ujian daripada makmal swasta di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, dua lagi kematian melibatkan dua lelaki tempatan berusia 57 tahun dan 69 tahun daripada kluster jemaah Tabligh.

Lelaki berusia 57 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang di Hospital Kuala Lumpur, manakala lelaki berusia 69 tahun itu disahkan meninggal dunia pada jam empat petang diHospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, kata Noor Hisham.
Dalam kenyataan sebelumnya hari ini, Noor Hisham mengesahkan kematian mangsa keempat, iaitu pesakit kes-238 yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun.
Pesakit itu, yang dimasukkan wad di Melaka pada 12 Mac lalu, merupakan antara yang mempunyai kaitan dengan kelompok perhimpunan tabligh.

'Makin ramai di ICU'

Perkembangan terbaru juga menyaksikan jumlah pesakit yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat kepada 37, dengan 23 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 153 kes jangkitan baru di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 1,183.

Sebanyak 90 daripada 153 kes baru itu mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid di Sri Petaling, Kuala Lumpur hujung bulan lalu.
Pada 20 Mac lalu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri menggesa baki 4,000 peserta perhimpunan tabligh masjid Seri Petaling tampil menjalani ujian Covid-19.

Ismail berkata polis telah mengenal pasti individu-individu yang telah menghadiri perhimpunan itu pada 28 Februari lalu.

Perhimpunan tabligh yang diadakan di ibu kota itu dikatakan dihadiri 16,000 peserta, dengan 14,500 daripada jumlah itu merupakan warga tempatan


No comments: