Adun PH P. Pinang didik pengunjung pasar awam cara cegah Covid-19


Kesedaran orang ramai tentang langkah yang perlu diambil bagi mencegah wabak Covid-19 khususnya di tempat tumpuan ramai seperti pasar awam dilihat masih berada di tahap yang rendah. 
Kawalan dan pencegahan wabak ini amat penting tanpa mengira kaum dan agama kerana ia wajib dilaksanakan demi menyelamatkan nyawa setiap insan.
Sehubungan itu, Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung bersama-sama sukarelawan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengambil inisiatif mendidik pengunjung pasar awam di Juru dekat Bukit Mertajam, Pulau Pinang tentang cara mencegah penyakit tersebut. 
Usaha ini dilakukan selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan selama 14 hari bermula 18 hingga 31 Mac bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 di negara ini.  
Antara langkah-langkah yang diambil pasukan yang diketuai Hsiao Leung itu adalah dengan mengehadkan bilangan pengunjung yang masuk ke kawasan pasar kepada 50 orang pada satu-satu masa.
Selain itu, mereka turut meletakkan tanda jarak 1 meter untuk orang ramai beratur sebelum memasuki kawasan pasar serta melakukan pemeriksaan suhu badan kepada pengunjung. 
“Kami menyediakan cecair pembasmi kuman percuma untuk semua pelanggan membersihkan tangan apabila mereka memasuki dan keluar dari pasar, dan menyerahkan risalah menasihati orang ramai tentang bagaimana untuk membendung penyebaran virus itu.
“Selain itu, kami juga mengambil inisiatif membersihkan pasar setiap hari bagi melindungi orang ramai daripada jangkitan virus,” katanya dalam satu kemaskini di Facebook. 
Katanya, usaha memerangi Covid-19 memerlukan kerjasama daripada semua pihak. 
“Kita semua perlu memainkan peranan kita masing-masing untuk melindungi keluarga dan orang tersayang kita,” ujarnya.

No comments: