Tentera belum diperlukan, polis lakukan kawalan terbaik – Anwar
Tentera hanyalah pilihan terakhir dalam mengawal pergerakan rakyat.
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata cadangan kerajaan menggunakan tentera mengawal rakyat mulai Ahad ini tidak boleh diterima.
“Bagi saya, ini sebenarnya tidak masuk akal untuk mengerahkan tentera pada waktu polis masih boleh mengawal keadaan,” kata Anwar dalam wawancara bersama CNBC semalam.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri berkata pihak tentera akan dipanggil bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mencegah penularan wabak Covid-19.
Menurut pendapat awam, penggunaan tentera akan memberi tekanan kepada darurat penuh dan perintah berkurung mandatori yang lebih menyukarkan rakyat mendapatkan keperluan harian
Langkah tersebut tidak praktikal ketika kerajaan kelihatan lemah dalam menyediakan keperluan asas seperti cecair pembasmi kuman dan topeng muka kepada rakyat.
Di Thailand misalnya kedua-dua bahan diberi percuma namun di Malaysia biarpun kerajaan membenarkan harga dinaikkan tetapi bahan tersebut masih sukar didapati di pasaran.
Selain itu, Anwar juga mengkritik kerajaan kerana tidak melarang perhimpunan agama lebih awal dan berkata usaha Perikatan Nasional yang mahu dilihat kononnya sebagai pentadbir berlandaskan Islam telah mengakibatkan keputusan lambat dibuat.
Setakat tengahari tadi terdapat 1,030 kes jangkitan Covid-19, manakala terdapat 26 pesakit yang dirawat di unit jagaan rapi (ICU).
Covid-19 telah meragut tiga korban di Malaysia.