Tun Mahathir kata pemecatan Marzuki tidak sah
Pertembungan antara Pengerusi Bersatu Tun Mahathir dan Presiden Muhyiddin Yassin semakin sengit berikutan pemecatan Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya tanpa keizinan pengerusi parti.
Petang tadi, Dr Mahathir menyuarakan bantahan terhadap pemberhentian Marzuki dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Muhyiddin.
“Pemberhentian Marzuki Yahya daripada jawatan setiausaha agung Bersatu oleh Tan Sri (Muhyiddin Yassin) adalah tidak sah dan wajar diketepikan,” katanya dipetik Malaysiakini.
Muhyiddin memecat Marzuki berdasarkan Fasal 13.9 perlembagaan parti Bersatu.
Bagaimanapun, Dr Mahathir dalam surat itu menegaskan Fasal 13.9 Perlembagaan Bersatu memang memperuntukkan kuasa atau tugas melantik setiausaha agung kepada presiden tetapi dengan syarat, ‘selepas berunding dengan pengerusi parti’.
“Maksud dan aplikasi berunding di dalam konteks ini bukan hanya setakat presiden memaklumkan pengerusi tetapi ianya mesti mencapai perbincangan yang bersungguh-sungguh antara presiden dengan pengerusi parti berkenaan (dalam) urusan melantik pegawai-pegawai (tertinggi parti) tersebut,” katanya.
Menjelaskan lanjut, Dr Mahathir yang dilantik semula sebagai pengerusi Bersatu tanpa bertanding pada Isnin lalu berkata ‘presiden adalah pada setiap masa material’ mesti berunding dengan pengerusi parti sebelum apa-apa tindakan dan keputusan pemberhentian boleh dibuat.
“Di dalam situasi pemberhentian Marzuki tersebut daripada jawatan setiausaha agung bersatu oleh Tan Sri (Muhyiddin Yassin), tiada sebarang rundingan telah dilakukan antara Tan Sri (Muhyiddin) dengan saya selaku pengerusi parti,” kata Mahathir lagi.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dilantik sebagai setiausaha agung parti.
Mahathir juga tidak bersetuju dengan pelantikan setiausaha agung Bersatu yang baru yang dilantik Muhyiddin bagi menggantikan Marzuki.
“Saya selaku pengerusi dengan ini memaklumkan bahawa melalui pemakaian fasal-fasal perlembagaan parti sebagaimana dinyatakan di atas, saya tidak bersetuju dengan cadangan Tan Sri (Muhyiddin Yassin) untuk melantik Hamzah Zainudin sebagai setiausaha agung parti yang baru,” jelasnya.