Menteri Kesihatan batuk, melalut jawab soalan program siaran langsung



Oleh ARIF ATAN
March 21, 2020 7:00 am





Warga maya mengkritik jawapan balas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam program bual bicara di TV1 mengenai Covid-19 malam tadi yang dianggap melalut atau tidak menjawab soalan.

Malah, beliau batuk beberapa kali ketika sedang menjawab soalan sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai yang menonton siaran langsung tentang kemungkinan beliau telah dijangkiti wabak itu.

Terdahulu, perantara bertanyakan dalam ayat yang mudah, “Bagaimana perkembangan terkini keadaan semasa di hospital dan pasukan perubatan kita?”

Namun, Dr Adham, 58, menjawab dengan menyorot kembali wabak itu tercetus tahun lalu sekali gus menerangkan asal-usul mengapa wabak tersebut dipanggil Covid-19.

“Kalau kita tengok wabak ini sudah bermula sejak bulan 12 (tahun lalu) di Wuhan, China. Wabak itu bermula di situ.

“Sebab itu kita panggil Covid-19. Dia berlaku pada 2019. Kalau dia mula pada 2020 mungkin nama dia Covid-20,” katanya diikuti batuk beberapa kali.

Ahli Parlimen Tenggara merangkap Ketua Penerangan Umno Johor itu kemudiannya secara spontan menekup mulutnya pada sapu tangan sebelum menyambung:

“Inilah cara kita batuk…etika. Kalau kita batuk, tutup mulut,” katanya sebelum menyambung retorik dalam program Bicara Naratif bertajuk Covid-19: Ambil Tahu & Bertindak Segera itu.

Walau bagaimanapun, soalan perantara masih belum dijawab sebaliknya Dr Adham mengaitkan binatang pula sebagai bukan sasaran serangan Covid-19.

“Virus ini dia suka manusia. Kita tidak pernah dengar dia masuk ke haiwan,” katanya selamba.

Pemilik rangkaian Klinik Adham Sdn Bhd itu juga sempat memberitahu tentang tempoh posisinya di Kementerian Kesihatan yang masih terlalu awal.

“Saya baru jadi menteri lapan hari. Hari pertama angkat sumpah sahaja saya sudah buat sesuatu yang perlu saya buat iaitu saya melihat model control.

“Saya pergi ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) kerana saya diberitahu kita ada petugas di barisan hadapan dengan penuh dedikasi, bertugas lama.

“Adalah tanggungjawab saya sebagai menteri untuk menjenguk mereka dan memberi semangat supaya terus menjalankan tugas walau apa sekalipun,” ujarnya.



Dr Adham dilihat gagal memberitahu realiti semasa pasukan perubatan ketika fasa wabak Covid-19.

Bukan main-main

Dr Adham yang pernah menjadi Exco Pendidikan Pemuda Umno itu turut menyentuh tentang kes import dan sejumlah warganegara Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan, China pada 4 Februari lalu.

“Ini ialah masalah nyawa rakyat Malaysia. Kita tidak mahu ada kes import lagi kerana saya diberitahu kita ada 68 kes yang diasingkan di AKEPT (Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi) iaitu warganegara Malaysia yang balik dari Wuhan yang kita asingkan 14 hari.

“Alhamdulillah, kita dapati semua kes import tiada dan kita ada jarak 11 hari yang bebas daripada penularan,” ujarnya.

Namun, sambung bekas wakil rakyat Umno bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Johor selama 10 tahun sejak 2008 itu, tempoh inkubasi bagi Covid-19 ialah 14 hari.

“Rupanya ada kluster baru dalam negara yang tidak dapat dikesan kerana balik (dari negara luar secara) sendiri.

“Sehingga 28 Februari hingga 3 Mac, ada kluster baru. Sebelum ini kluster ke-26 yang ada kontak dengan 10 orang.

“Ini (Covid-19) bukan main-main. Ini satu wabak lebih hebat dari SARS dan H1N1,” katanya lagi.

Mengulas slot penerangan dalam siaran di saluran TV milik kerajaan itu, rata-rata orang awam menganggap Dr Adham gagal memberi pemahaman yang sewajarnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan berlangsung pada masa ini.

“Apa punya menteri. Sekarang semua nak kena pantas. Tugas fahamkan rakyat, gagallah,” kata Nurul Abdullah.

No comments: