KERAJAAN PN KAMBINGHITAMKAN PH



Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digambarkan oleh komponen utamanya, Umno sebagai kerajaan ‘syurga Melayu’ manakala Pas menyifatkan kerajaan ini mendapat ‘restu dari langit’, kerana apa sahaja yang disertai oleh parti itu akan beroleh rahmat.

Apabila kerajaan ini diuji wabak Covid 19 maka rakyat mula menilai apakah kerajaan syurga Melayu atau Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai Cina DAP lebih baik? Ketika virus Covid mula bertapak di Malaysia pada 25 Januari, hanya empat orang yang disahkan positif. Mereka dirawat di hospital dan dipantau rapi Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkifly Ahmad.

PH pentingkan diri?

Meskipun hari ini penyokong Umno-Pas menghebohkan kononnya polisi pentingkan diri PH menerima pelancong China punca utama merebaknya Covid 19 namun fakta dari Kementerian Kesihatan menolaknya. Menurut kementerian, pelancong China yang dikuarantin di hospital tidak merebakkan virus kepada warga tempatan. Malah ketika itu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengisytiharkan Covid 19 sebagai pandemik. Langkah menolak kemasukan pelancong China seolah-olah memutuskan hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.


Malah WHO pernah memberi pujian kepada Malaysia sebagai antara negara terbaik di dunia mengawal merebaknya virus Covid. Pujian itu tepat kerana pada 20 Februari, daripada 22 pesakit, 21 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan meninggalkan hospital. Gelombang pertama Covid berakhir.

Gelombang kedua Covid

Gelombang kedua Covid tidak disedari majoriti rakyat Malaysia. Gelombang ini tercetus akibat terabainya Kementerian Kesihatan apabila beberapa ahli politik desperado memulakan ‘Langkah Sheraton’ pada 22 Februari untuk mengulingkan kerajaan pimpinan Tun Mahathir.
Akibatnya Menteri Kesihatan Dr Dzulkifly meletak jawatan pada 23 Februari apabila kerajaan PH hilang majoriti. Situasi seterusnya, Kementerian Kesihatan ditadbir secara auto-pilot oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan mengikut sahaja polisi-polisi yang telah diluluskan pada era PH. Sebarang polisi baharu, langkah perubatan lebih ketat, langkah pencegahan atau peruntukan tambahan mengekang penyebaran Covid tidak boleh dilakukan kerana ketiadaan menteri yang memberi kata putus atau memohon peruntukan tambahan.


Walaupun pada 29 Februari Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri tetapi kerajaan masih belum berfungsi. Beliau mengambil masa seminggu bagi melantik menteri kabinet termasuk Menteri Kesihatan. Oleh itu, terdapat lompang dua minggu ‘peluang terbaik’ virus Covid 19 memulakan gelombang kedua tanpa pemantauan rapi Menteri Kesihatan.


Ijtimak Tabligh


Ketika Langkah Sheraton tiba di penghujung, ijtimak Tabligh dianjurkan di masjid Sri Petaling, Selangor melibatkan 16,000 kehadiran. Sebanyak 14,500 peserta adalah warganegara Malaysia. Sekiranya Menteri Kesihatan Dr Dzulkifly masih berkuasa ketika itu maka beliau pasti menasihatkan Perdana Menteri untuk membatalkan (mencegah penganjuran) himpunan tersebut.


Ujian mengesan Covid 19


Tanpa sosok Menteri Kesihatan dan negara ditadbir oleh seorang PM interim dengan kuasa penasihat  maka terjadilah malapetaka yang tidak boleh dihindarkan. Salah seorang peserta ijtimak berasal dari Brunei kemudiannya disahkan  positif Covid 19 selepas kembali ke negaranya.

Langkah Kementerian Kesihatan mengesan peserta Tabligh di Malaysia mendapati lebih 500 kes positif covid berasal himpunan berkenaan. Malangnya, dengan fakta tersebut pun kumpulan penyokong Umno dan Pas masih menyalahkan kerajaan PH kerana tidak mencegah himpunan 27 Februari – 1 Mac itu, sedangkan ketika itu kerajaan PH sudah diguling.

Lock down huru hara


Apabila Covid 19 semakin tidak terkawal dan jumlah pesakit mencecah 190 sehari pada 15 Mac maka kerajaan PN mengenakan kawalan pergerakan ke seluruh negara mulai 18 Mac. Bagaimanapun kawalan pergerakan ini menjadi kecaman rakyat apabila PM Muhyiddin Yassin hanya mengumumkan tarikh bermula tetapi para menteri lain tidak tampil untuk memberi penjelasan lanjut apakah yang perlu dibuat oleh rakyat.

Kawalan pergerakan dilaksanakan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN). Bagaimanapun tidak ada panduan lengkap untuk setiap aktiviti harian dikeluarkan MKN pada tarikh hal itu diisytiharkan.

Pelajar bersesak di terminal TBS

Akibatnya institusi pengajian tinggi mengarahkan pelajar yang berada di asrama meninggalkan kawasan sebelum 18 Mac. Puluhan ribu pelajar pulang ke kampung dan bersesak di stesen pengangkutan awam TBS membeli tiket dan berisiko menyebabkan virus tersebar luas.

 Menyedari kawalan pergerakan adalah laksana perintah berkurung maka pada 18 Mac, Menteri Pengajian  Tinggi memberi arahan pelajar boleh tinggal di asrama masing-masing.

Hal yang hampir sama berlaku apabila pihak polis pada malam 16 Mac mengumumkan sesiapa yang ingin melakukan perjalanan antara negeri wajib mengisi borang perlepasan. Namun pada malam itu juga Ketua Polis Negara menggantung arahan berkenaan apabila ribuan warga Kuala Lumpur beratur panjang di balai polis yang meningkatkan risiko penyebaran virus.

Huru hara ini menggambarkan kerajaan PN tidak faham apa yang perlu mereka lakukan dan para menterinya tidak kompetan menangani krisis kesihatan. Hal itu belum lagi kritikan para warga yang bekerja sendiri apabila dikenakan perintah kawalan pergerakan tetapi kerajaan enggan memberi bantuan sara hidup selama dua minggu.

Kerajaan hanya menawarkan bantuan kewangan RM600 sebulan bagi yang bergaji di bawah RM4,000. Hakikatnya, berpuluh ribu ketua keluarga di negara ini bekerja sendiri sebagai penjaja, kerja gaji hari, pelayan kedai makan, mekanik, tukang gunting dan sebagainya yang tidak termasuk dalam skim bantuan kerajaan.

Turki beri bantuan

Malaysia tidak mengambil langkah sebagaimana Singapura yang menyediakan elaun khas kepada pekerja terlibat. Jika diambil kira negara yang wabak covid masih tidak menggemparkan, seperti Turki misalnya, bantuan kepada rakyat marhaen diutamakan. Turki memperkenalkan bantuan gaji minimum kepada pekerja; bayaran hutang syarikat ditangguh selama 2 bulan; cukai penerbangan dikurangkan daripada 18% ke 1%; bayaran pencen ditingkatkan; cukai tidak dikenakan kepada hotel hingga November; warga emas 65 tahun ke atas menerima topeng muka dan pembasmi kuman percuma serta banyak lagi.


Manakala Qatar pula memberi tangguhan pembayaran hutang selama 6 bulan; makanan serta barangan perubatan dikecualikan cukai selama 6 bulan; pengangkutan awam digantung beroperasi dan pelajar memulakan pengajian secara atas talian sepenuhnya.


Sungguh pun Malaysia tidak sekaya Qatar namun pemberian bantuan segera atau membekalkan makanan serta peralatan perubatan percuma kepada warga miskin wajar dilakukan. Kumpulan itu tidak mempunyai cukup wang untuk sentiasa membeli cecair pembasmi kuman atau topeng muka.

Negeri PH ambil langkah awal bantuan rakyat

Dalam masa sama, ahli-ahli parlimen PH walaupun tidak lagi mempunyai kerajaan mampu  melaksanakan inisiatif membekalkan makanan atau bahan keperluan asas kepada warga emas dan miskin. Kerajaan negeri PH juga membekalkan bantuan kepada warga memerlukan pada kadar segera. Apakah kerajaan PN yang mentadbir Malaysia tidak langsung mempunyai dana luar jangka untuk diagihkan pada waktu kecemasan?
Pulau Pinang misalnya kerajaan negeri melancarkan pakej RM 20 Juta buat rakyat negeri,manakala zakat negeri pula memberi bantuan 500 kepada asnaf.

Kegagalan kerajaan PN membantu rakyat yang memerlukan akan menyebabkan strategi kawalan pergerakan tidak akan berjaya. Rakyat berpendapatan rendah tidak mahu menunggu lama di rumah tanpa makanan asas. Mereka akan melakukan apa sahaja kerja untuk mencari wang. Mereka akan berniaga dan tidak menghiraukan perintah kerajaan.

Hadis beri amaran

Covid 19 bagi penyokong Pas digambarkan sebagai ujian Allah kepada sesiapa yang beriman. Namun mereka tidak sedar virus ini juga merupakan ujian kepada kerajaan pintu belakang yang mereka anggotai. Tanpa efisiensi dalam bertindak maka kerajaan ini sepatutnya meletak jawatan. Keberkesanan memerintah bukan bergantung kepada etnik Melayu atau Cina tetapi pemimpin mana yang boleh memberi idea/perkhidmatan terbaik.


Hal ini selaras dengan ajaran Islam sebagaimana hadis Rasullulah s.a.w. Dari Abu Hurairah (r.a) bahawa Rasulullah bersabda, “Sekiranya amanah itu disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Lalu para sahabat baginda bertanya tentang bagaimanakah yang dikatakan amanah itu disia-siakan? Nabi saw menjawab: (Amanah itu disia-siakan) apabila kamu menyerahkan sesuatu urusan kepada mereka yang bukan ahlinya, maka tunggulah akan kehancuran” (Sahih Bukhari)

Kronologi penyebaran Covid 19
Gelombang Pertama
Januari:
Minggu 4 (24  – 29 Jan)                 8 orang
Februari:
Minggu 1 (1 – 6 Feb)                       14 orang
Minggu 2 (7 – 14 Feb)                     19 orang (5 pesakit baru)
Minggu 3 (15 – 22 Feb)                  22 orang (21 pesakit sembuh)
Minggu 4 (23 – 29 Feb)                  25 orang (3 pesakit baharu)
Gelombang kedua
Mac:
Minggu 1 (1 – 7 Mac)                      93 orang (pertambahan 68 pesakit)
Minggu 2 (8 – 14 Mac)                    238 orang (pertambahan 145 pesakit)
Minggu 3 (14 – 18 Mac)                  790 orang (pertambahan 552 pesakit)


No comments: