P. Pinang peruntuk RM1.3 juta bantuan pelajar IPT
Walaupun difitnah kononnya mengabaikan nasib golongan Melayu Pulau Pinang, kerajaan negeri itu terus mengandakan usaha memastikan kesejahteraan rakyat di negeri itu terpelihara.
Ini terbukti apabila kira-kira RM1,330,000 dibelanjakan pihak pentadbiran negeri sebagai insentif Bantuan Pendaftaran Pelajar Ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi sesi kemasukan Jun 2019 baru-baru ini.
Exco kerajaan negeri Chong Eng berkata, insentif tersebut diberikan sebagai menghargai usaha dan penat lelah pelajar yang telah bertungkus lumus bagi mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang.
“Bantuan ini melibatkan 1,330 pelajar di negeri Pulau Pinang bagi sesi kemasukan pada bulan Jun 2019 dan jumlah bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) adalah seramai 347 orang pelajar yang menelan kos sebanyak RM 270,200.
“Saya berharap bantuan ini dapat membantu meringankan beban pelajar, ibu bapa dan waris semasa proses pendaftaran pelajar-pelajar ke IPT, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan juga Politeknik nanti,” ucapnya.
Beliau sebelumnya menghadiri Majlis Penyampaian Bantuan Pendaftaran Pelajar ke IPT Tahun 2019 Bagi Daerah SPT di SP Arena.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon dan Pegawai Daerah SPT, Kamarul Haizal Koderat.
“Bagi sesetengah orang, bantuan sebanyak RM1,000 dan RM300 ini mungkin tidak besar, namun bagi golongan B40, ia besar dan dinanti-nantikan.
“Saya sangat berharap agar bantuan diberikan itu dapat menambahkan lagi semangat para pelajar untuk terus maju ke hadapan dalam apa jua bidang yang diceburi,” tambahnya.
Sebagai rekod, bantuan diberikan tanpa mengira kaum, agama atau kecenderungan politik penerima. – RF8 Media