Kerjasama Umno-Pas dipertikai akar umbi?
Kurang seminggu sebelum termeterainya kerjasama Umno – Pas pelbagai pihak kurang yakin kerjasama itu akan menguatkan gabungan pembangkang menghadapi pilihan raya umum ke 15.
Apatah lagi pembangkang hanya bergantung kepada retorik perkauman dan agama sempit yang mungkin tambah menghuru-harakan situasi hubungan kaum di Malaysia
Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor menjangkakan kerjasama itu akan lebih banyak mencetuskan ketidakpuasan hati pemimpin dan penyokong akar umbi berbanding kesepaduan menghadapi Pakatan Harapan dalam tahun-tahun mendatang.
“Saya rasa penyatuan ini hanya melibatkan peringkat pemimpin atasan sahaja, tetapi di peringkat bawah (penyokong) masih belum padam perasaan marah sebagai ‘musuh lama’ mereka.
“Jadi kita tidak perlu risau sangat mengenai kerjasama Umno-Pas itu sebab kita tahu memorandum persefahaman (MoU) tidak ada nilai makna apa-apa melainkan sekadar kertas
“Saya yakin penentangan akan lebih jelas kelihatan apabila berlaku perebutan pembahagian kerusi, calon negeri dan parlimen yang didominasi parti masing-masing,” katanya dipetik Suara Keadilan.
Mengulas sama ada undang-undang hudud wajar dimasukkan dalam piagam kerjasama tersebut, Kamaruddin menganggap isu berkenaan amat sensitif dan lebih menyukarkan pembangkang dalam situasi perkauman yang semakin memanas dalam negara.
“Saya tidak pasti samada mereka (Pas) akan masukan hudud dalam intipati piagam itu, jika dia tak masukan seolah-olah mereka meninggalkan perjuangan (utama) selama ini,” katanya.
Piagam atau MoU Umno – Pas dijadualkan ditandatangani pada 14 September ini selepas dua kali dipinda tarikhnya, yang dispekulasikan akibat kesukaran menerima agenda hudud serta pembahagian kerusi sama rata antara Umno dan Pas. – RF8 Media