AZMIN NYATA SUDAH TAWAR HATI DENGAN PKR, ELOKLAH CARI WADAH BARU….



Imej mungkin mengandungi: teks







Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali tidak hadir lagi dalam mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu yang diadakan semalam.
Ini bukanlah kali pertama beliau tidak hadir mesyuarat MPP, malah difahamkan ketidakhadirannya telah berlaku sejak beberapa bulan yang lalu lagi.
Selain itu, Azmin juga dikatakan sudah sekian lama tidak hadir mesyuarat Biro Politik PKR, meskipun beliau adalah pemimpin nombor dua dalam parti.
Kenapakah Azmin sudah lama tidak hadir mesyuarat PKR, sedangkan melalui parti itulah beliau beroleh tiket untuk bertanding dalam pilihanraya dan seterusnya menikmati jawatan bergaji lumayan dalam kerajaan?
Walaupun mungkin Azmin ada jawapan tersendiri mengenai ketidakhadirannya dalam mesyuarat PKR, tetapi oleh kerana ia berlaku sudah sekian lama, jawapan yang ternampak logik ialah beliau sudah mula tawar hati terhadap PKR.
Jika Azmin masih ada perasaan sayang kepada PKR atau menghargai sumbangan parti dalam pembinaan karier politiknya selama ini, beliau tentunya tidak ambil mudah mengenai kehadirannya dalam mesyuarat.
Lebih-lebih lagi dengan kedudukannya sebagai pemimpin nombor dua dalam PKR, ketidakhadiran dalam mesyuarat untuk suatu tempoh yang agak lama adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.
Apakah Azmin berbuat demikian kerana merasakan PKR tidak penting lagi baginya?
Adakah ini disebabkan beliau melihat bahawa menjaga hati dan membontoti ke mana saja Tun Mahathir Mohamad pergi adalah jauh lebih penting daripada menunaikan tanggungjawabnya kepada PKR?
Yang nyata, jika ini berterusan, Azmin memang tidak sesuai lagi untuk terus berada dalam PKR.
Beliau sebaiknya memilih jalan sendiri dengan menyertai mana-mana parti pilihannya, termasuk Gerakan atau menubuhkan partinya sendiri.
Lagi pun jika Ezam Mohd Nor dan Ibrahim Ali pun berani menubuhkan parti sendiri untuk meneruskan perjuangan masing-masing, tiada sebab untuk Azmin memperlihatkan dirinya lebih penakut daripada kedua-dua mereka itu.
Dengan adanya parti baru itu nanti, bolehlah beliau mengangkut semua orang dalam PKR yang menyokongnya bersama partiitu. (Shahbudindotcom 29/07/2019)


No comments: