Tumbangkan BN di 73 kerusi parlimen luar bandar
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengakui ada banyak perkembangan penting Pakatan Harapan (HARAPAN) terjadi meskipun hanya beberapa bulan beliau tidak aktif dalam politik kerana terpaksa melalui pembedahan.
Bercakap dalam ceramah pertama selepas pembedahannya, Lim berkata antara perkembangan itu adalah posisi pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang masing-masing dinamakan sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri HARAPAN.
Bagaimanapun, menurut beliau, ada beberapa persoalan yang perlu dijawab termasuklah sama aada Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri merupakan strategi terbaik bagi mencapai perubahan dalam kerajaan dan perubahan sistematik insititusi..
Menurutnya lagi, BN menang 60 peratus kerusi parlimen dalam pilihan raya umum (PRU) lalu meskipun kalah undi popular yang disifatkan Perdana Menteri Najib Razak sebagai “tsunami Cina”.
Anggota Parlimen Gelang Patah itu menekankan, sebaliknya ia adalah “tsunami urban” dan menambah HARAPAN perlu meluaskan pengaruh untuk mendapat sokongan di kalangan penduduk luar bandar.
“Sekiranya ingin mengalahkan Umno-BN dalam PRU ke-14, HARAPAN mesti mampu melakukan lebih baik berbanding Pakatan Rakyat pada PRU ke-13, bukan hanya mendapatkan sokongan pengundi yang mahu perubahan, tapi juga memenangi hati pengundi luar bandar yang sebelum ini mengundi dan menyokong Najib serta Umno-BN.
“Tanpa sokongan pengundi Melayu luar bandar dalam 73 kerusi parlimen yang dimenangi Umno di Semenanjung pada PRU ke-13, tidak akan terjadi perubahan politik, institusi atau sistem.
“Oleh sebab itu HARAPAN membuat keputusan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Wan Azizah sebagai calon timbalan perdana menteri,” katanya.
Lim turut menegaskan bahawa pertembungan dalam PRU ke-14 bukan tentang Najib melawan Dr Mahathir tapi sebaliknya, Najib melawan rakyat Malaysia.