Maria Chin terima dana seciput dikurung, yang terima ‘derma’ berbilion dibebas?


bersih-dataran2
TAWAU, 27 NOV: “Mengapa Maria Chin ditahan mengikut SOSMA hanya kerana BERSIH menerima dana seciput dari Open Society Foundation (OSF) sementara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilepaskan begitu sahaja meskipun menerima dana besar RM4.2 bilion daripada warga asing?”
Demikian persoalan yang dibangkitkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menuntut pembebasaan Pengerusi BERSIH 2.0 itu yang masuk hari kelapan ditahan polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) itu.
Beliau merujuk dana RM4.2 bilion yang didakwa kononnya disumbangkan oleh Raja berketurunan Arab kepada Najib, walaupun hasil siasatan pihak berkuasa Amerika Syarikat mendapati dana itu disalurkan daripada wang yang diseleweng daripada syarikat milik penuh negara, 1MDB.
Kit Siang, dalam ucapannya dalam satu program dialog di sini semalam, turut mempersoalkan sikap sambil lewa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai keadaan teruk sel penjara yang menempatkan wanita berusia 60 tahun itu.
Hanya setelah seminggu Maria ditahan, kata Kit Siang, baru lah polis sedar dan memaklumkan bahawa pihaknya telah menyediakan tilam dan bantal selepas Maria mengadu terpaksa tidur dalam keadaan tidak selesa berlantaikan kayu sehingga menjejaskan kesihatannya.
Adalah menyedihkan apabila Khalid tidak sedar bahawa pengumuman itu tidak menggambarkan sensitiviti beliau tetapi sebaliknya menunjukkan sifat zalim, kejam dan tidak sensitif Ketua Polis Negara kerana menunggu hampir seminggu untuk menyediakan segala keperluan berkenaan,” ujarnya.
Maria, menurut Kit Siang, sering memberi kesedaran terhadap masyarakat demi perubahan dengan cara aman, tanpa keganasan, dan mengikut lunas demokrasi, justeru beliau tidak harus dianggap seperti pengganas dan ditahan reman selama 28 hari mengikut SOSMA.
Namun, katanya tindakan polis adalah lembab apabila sesuatu kes itu melibatkan penyokong UMNO seperti yang terjadi dalam rusuhan serangan seorang anggota Parlimen pembangkang dan rusuhan di pameran seni oleh kartunis, Zunar di Komtar, semalam.
Pun begitu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, profesionalisme yang ditunjukkan polis dalam memastikan perhimpunan BERSIH 5 berlangsung aman tanpa gangguan harus diberikan pujian.
“Ia adalah bukti bahawa anggota polis boleh dipertanggungjawabkan untuk menjalankan tugas-tugas mereka untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan memastikan keamanan dan ketenteraman jika tidak ada campur tangan politik, sama ada oleh tuan politik mereka atau ketua mereka yang menjadi boneka permainan politik tuan-tuan mereka,” ujarnya. – Roketkini.com

No comments: