Malaysia perlu bantu pelarian Rohingya- Wan Azizah

Malaysia perlu bantu pelarian Rohingya- Wan Azizah

(Oleh: Fiza Halim)

KUALA LUMPUR 19 MEI- Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  menggesa kerajaan membantu pelarian Rohingya  yang kini bersabung nyawa di tengah lautan berdekatan perairan Malaysia.

Wan Azizah yang juga ketua pembangkang menegaskan, kerajaan perlu segera menghantar misi  kemanusiaan bagi menyelamatkan pelarian berkenaan yang dinafikan hak di tanah air mereka.

Azizah“Mengikut Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, orang Rohingya ini ramai yang beragama Islam.
“Mereka dinafikan hak kemanusiaan di negara sendiri, jadi kita negara Islam perlu menyelesaikan perkara ini, kerana mereka juga manusia,” hujahnya yang juga Presiden KEADILAN di parlimen hari ini.
Jelasnya, kerajaan juga mengetahui bahawa isu pelarian Rohingya melibatkan isu pemerdagangan manusia, namun tiada tindakan susulan dibuat bagi mengatasi perkara itu.

“Jika kerajaan menerima laporan melalui agensi-agensi tertentu mengenai isu ini, mereka boleh menjangka perkara ini boleh timbul, melainkan mereka alpa,
lalai atau ia diterajui sindiket jenayah terancang antarabangsa.


“Isu ini sudah lama wujud, bukan sekarang dan bukan hari ini. Krisis sebegini sudah berlaku, senang untuk dianalis dan dikaji,” katanya dalam perbahasan dalam Dewan Rakyat hari ini.

Dalam perkembangan lain, Wan Azizah mendesak kerajaan memperbaiki semula Akta Rasuah supaya kegiatan rasuah di negara ini dapat ditangani dengan berkesan.

“Korupsi atau rasuah menjadi faktor utama kegagalan dalam pelaksanaan kerajaan terutama dalam pelaksanaan rang undang-undang, ia telah menjadi satu barah yang teruk.

“Oleh demikian, Akta Rasuah perlu diperbaiki dan di perkukuhkan lagi seperti juga yang diminta SPRM. Ia perlu disemak kerana rasuah di negara ini dapat ditangani dengan holistik,” katanya.

No comments: