Suee Lim : Demi Rakyat Saya Tidak Gentar Saman Noh
SHAH ALAM, 15 MAC : Demi membela nasib dan menyatakan hak rakyat, saya tidak sesekali gentar dan tidak akan berundur walaupun setapak serta bersedia berhadapan dengannya di mahkamah pada bila-bila masa, kata ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim.
Dalam satu laporan media semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memfailkan saman RM20 juta masing-masing kepada Kerajaan Negeri Selangor yang menerbitkan akhbar Selangor Kini dan Suee Lim berhubung penyiaran artikel berunsur fitnah terhadapnya.
Saman tersebut dikeluarkan berhubung laporan Selangor Kini bertarikh 25 November hingga 2 Disember 2011 itu yang bertajuk ‘Pesawah tuntut Noh Omar letak jawatan yang disifatkan beliau sebagai fitnah dan menjatuhkan kredibilitinya sebagai wakil rakyat.
Pada 9 Mac lalu saman difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan pendengaran kes berkenaan akan diputuskan 22 Mac ini, turut dinamakan enam individu lain termasuklah Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Hussin dan sidang pengarang akhbar Selangor Kini.
Suee Lim berkata, beliau tidak gentar kerana baginya tuntutan pesawah terhadap Noh itu benar dan tidak berunsurkan fitnah.
Hakikatnya ia merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dibentangkan dalam parlimen yang mana penemuan RM110 juta yang hilang dalam kementeriannya.
“Noh sepatutnya menyalurkan peruntukkan sebanyak RM110 juta itu kepada petani sebagai inisiatif meningkatkan hasil padi.
“Contohnya, hasil pertanian petani sebanyak lima tan dan meningkat kepada tujuh tan, usaha gigih untuk menaikkan hasil pendapatan itu sebanyak dua tan sepatutnya dibayar, Noh kena membayar setiap tan iaitu bagi satu tan sebanyak RM650, tetapi Noh hanya memberi janji kosong sahaja,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, wang inisiatif peningkatan hasil padi itu tidak dibayar sejak tiga tahun lalu, kerana rasa tidak berpuas hati barulah petani tersebut membuat bantahan.
Tambahnya, susulan demostrasi itu dalam tempoh lima hingga tujuh hari, petani terbabit menerima sejumlah wang inisiatif itu yang dimasukkan secara terus ke dalam akaun mereka.
“Ini menunjukkan apa yang saya dan yang lain lakukan itu benar dan bukannya fitnah, tuntutan petani itu bererti benar, kita tidak tahu apa yang dilakukan Noh kerana beliau tidak memberi penjelasan apa-apa,” katanya.” Dia sepatutnya menjelaskan duit rakyat, sudahlah tidak memberi sebarang penjelasan, ini maknanya dia sudah lesapkan duit itu ke tempat lain kenapa perlu pertikaikan perkara itu,” katanya.