‘Banquet Event Order’Adalah Salinan Yang Sah

‘Banquet Event Order’Adalah Salinan Yang Sah


SHAH ALAM, 13 MAC: Dokumen ‘banquet event order’ yang dibilkan kepada Pejabat Perdana Menteri disahkan asli oleh pihak pengurusan Hotel Shangri La hari ini.

Demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Hotel Shangri La ketika menjawab isu yang melibatkan majlis pertunangan anak perempuan Perdana Menteri yang menimbulkan kontroversi kerana dipercayai dibiayai oleh dana awam.

Bagaimanapun menurut kenyataan itu lagi, kos majlis tersebut dibayar oleh Datuk Seri Najib Razak dan bukan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Mengulas isu yang sama, Pengerusi Jingga 13, Mohd Fariz Musa memberitahu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Hotel Shagri-La itu hanya bersifat penafian yang tidak membawa sebarang makna.

“Kenyataan Hotel Shangri La sama dengan kenyataan yang dikeluarkan Pejabat PM, cuma penafian tapi tak ada bukti apa-apa.

“Ia cuma penafian bersifat kenyataan membela sedangkan dalam borang ‘Banquet Event Order’ jelas menyatakan bahawa ‘to be billed to PM’s Office’,” kata beliau.

Terdahulu, majlis pertunangan anak najib yang menelan belanja sebanyak RM409,767 pada 17 Jun tahun lalu telah mencetuskan kontroversi apabila majlis tersebut dipercayai dibiayai dengan menggunakan dana awam.

Semalam, berbekalkan beberapa dokumen, pertubuhan Jingga 13 telah membawa perkara ini ke pengetahuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

No comments: