Surat terbuka kepada Pengarah JAS Pahang


Fuziah Salleh | Dec 31, 2011 01:40:21 pm

Tuan Pengarah,

Kenyataan Tuan Pengarah yang dilaporkan oleh akhbar Sinar sewaktu taklimat tertutup anjuran JASA pada hari khamis 29 Disember berkenaan isu kilang Lynas, menggunakan fakta untuk menyelewengkan pandangan awam dan wajar diperbetulkan.

Selaku Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang pihak tuan harus bersifat lebih bertanggungjawab kepada rakyat. Apabila pihak tuan membuat kenyataan bahawa "kilang Lynas ialah kilang kimia dan bukan kilang radioaktif" ianya merupakan kenyataan "separuh benar" yang berselindung di sebalik fakta.

Mengapakah pihak tuan selaku Pengarah JAS tidak boleh berterus terang dengan status sebenar kilang Lynas, iaitu:

1. Bahawa kilang ini ialah kilang kimia yang akan mengeluarkan sisa buangan bersifat radioaktif diparas 6bq|g. Menteri MOSTI di dalam Dewan Rakyat pada 14 Nov juga telah mengakui bahawa WLP (water leach purification) solid residue - sisa berbentuk pepejal ialah sisa yang diklasifikasikan sebagai radioaktif.

2. Bahawa Kilang Lynas juga merupakan logi pemrosesan "rare earth" yang terbesar di dunia di luar negara China apabila ianya beroperasi sepenuhnya kelak dan akan mengeluarkan sebanyak 30% keperluan "rare earth" di dunia. Kilang Lynas menggunakan bahan galian yang dibawa dari Australia dan kemudian diproses di Gebeng di mana sisa radioaktifnya akan dibuang di Malaysia.

3. Sisa pepejal bersifat radioaktif (WLP solid residue) yang akan dikeluarkan nanti ialah sebanyak lebih dari 60,000 metric ton setahun dan setakat ini masih belum ada jalan penyelesaian yang ditemui oleh Lynas berkenaan dengan pengurusan jangka panjang sisa buangan radioaktif tersebut. Malah cadangan dari Lynas telah ditolak sekurang-kurangnya tiga kali oleh pihak AELB.

4. Bahawa Preliminary EIA untuk kilang Lynas diluluskan secara ekspres dalam masa tiga minggu oleh JAS Pahang. (Diterima 21 Jan 2008 dan mendapat kelulusan 15 Feb 2008)

5. Bahawa Detailed EIA tidak pernah dipinta ke atas Lynas oleh pihak JAS Pahang.

6. Bahawa pada 20 Jun 2011, pihak JAS telah pun meletakkan aktiviti seperti kilang Lynas ini di antara yang memerlukan DEIA. (Aktiviti memproses bahan radioaktif dan mengeluarkan sisa buangan radioaktif) - fakta ini menunjukkan bahawa aktiviti kilang ini termasuk di dalam aktiviti yang memerlukan penelitian dan kajian terperinci berkenaan kesan pemrosesan di kilang ini terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.

Kesemuanya ini wajib diterangkan kepada orang ramai. Mengapa JASA perlu adakan taklimat tertutup? JASA juga telah tidak membenarkan sebahagian dari meraka yang hadir dan wartawan untuk masuk ke Dewan Auditorium RTM. Mengapa perlu JASA mengatakan bahawa isu ini isu sensitif dan juga mengatakan bahawa ada pihak yang cuba manipulasi fakta.

Mengapakah Pengarah JAS perlu bersekongkol dengan JASA dalam taklimat tertutup? Bukankah juga tanggungjawab Pengarah JAS ialah memberitahu perkara yang benar kepada rakyat dan tidak diperalatkan sebagai alat politik oleh pihak pemerintah yang mahu memutar-belitkan fakta sebenar?

Demi Rakyat, saya tuntut Pengarah JAS Pahang menjelaskan kebenaran kepada rakyat berlandaskan fakta sebenar.

*Surat terbuka oleh Fuziah Salleh (gambar kiri) selaku ahli parlimen Kuantan, kepada Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pahang, Dr.Ahmad Kamarul Najuib Che Ibrahim.

No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

Bicara Tokoh bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim | 10 April 2021