Khalid Samad: Keluar dewan bantahan paling keras

Pada 26 November yang lalu saya telah selamat tiba ke tanah air dari Gaza dan Mesir pada jam 6 petang. Setelah pulang ke rumah berehat; pada keesokan harinya 27 November saya telah hadir ke majlis walimah di Sek 17 pada sebelah tengah hari, program semarak hijau di Selayang pada sebelah petang dan program Maal Hijrah di Masjid As-Solihin Sek 17 pada waktu malam. Pada hari Isnin 28 November pula saya sempat bersama dengan Dr.Rani untuk bersarapan dan pada waktu malam berkesempatan menghadiri Barbeque bersama unit Amal di Seksyen 19.

RANG UNDANG-UNDANG PERHIMPUNAN AMAN

Pada 29 November saya telah hadir ke Parlimen. Rang Undang-undang yang ingin dibahas adalah Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011. Amat jelas dari awal lagi, bahawa RUU ini bertujuan bukan untuk menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, tetapi sebaliknya bertujuan untuk menyulitkannya. Sedangkan gambaran yang diberi oleh pihak kerajaan ialah ianya bertujuan untuk menjamin hak rakyat untuk berhimpunan secara aman akan lebih terjamin! Seperti biasa, ianya indah khabar dari rupa!

RUU ini telah dibentang pada hari Khamis 24 November oleh PM di Parlimen. Ia telah menghasilkan berbagai respon negatif dari berbagai pihak, sehingga pada hari Selasa, awal pagi lagi diletakkan pindaan kepada RUU yang baru sahaja dibentang itu. Namun, malangnya, pindaannya terlalu bersifat kosmetik sambil mengekalkan semangat asalnya, iaitu untuk mengongkong hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan bersuara. Sehingga ada yang menyatakan peraturan ini adalah jauh lebih teruk dari Negara Myanmar, iaitu sebuah Negara yang diperintah junta tentera!

Ketidak ikhlasan pihak BN dalam membahas RUU ini jelas terbukti apabila masa yang diperuntukkan hanya sehingga jam 4 petang dan hanya 3 orang sahaja dari PR dibenarkan berhujjah, iaitu Anwar Ibrahim, Lim Guan ng dan Hadi Awang. Sedangkan, seperti yang disebut oleh wakil rakyat Gombak, RUU berhubung Kenaf pun diberikan tempoh selama 2 hari! Selain dari RUU Perhimpunan Aman 2011 ini, 5 lagi RUU hendak dibahas pada hari itu!

Jam 12.30 tengah hari kami telah keluar dari dewan untuk menyambut pihak Majlis Peguam yang berarak ke Parlimen untuk membantah RUU ini. Lebih dari seribu peguam telah menyertainya. 10 wakil dibenarkan masuk ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada pihak kerajaan membantah RUU berkenaan yang mengharamkan terus perarakan dan menyulitkan perhimpunan aman.

Pendirian PR adalah RUU perlu ditarik balik dan diserah kepada sebuah PSC (Parliament Select Committee) untuk dibahas dengan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan. Ini adalah kerana RUU ini digubal secara tergesa-gesa dan dengan niat yang jahat untuk mengongkong rakyat. Maka, setelah menyatakan pendirian ini, kami telah memutuskan untuk meninggalkan dewan kerana tidak bermakna untuk kita menyatakan ianya perlu ditarik balik dan dibahas di peringkat PSC tetapi kita terus membahasnya di dalam dewan! Sekiranya PR terus membahaskannya di dalam dewan, maka tindakan tersebut akan bercanggah dengan pendirian yang telah dibuat sendiri!

Ada yang menyatakan bahawa ahli parlimen PR perlu terus membahasnya dan menentangnya sehingga ke peringkat pengundian. Apabila kita keluar dewan dengan melakukan "walk-out" maka dianggap bahawa kita tidak menentangnya habis-habisan. Mereka yang bertanggapan sebegini mungkin tidak memahami bahawa "walk-out" merupakan bentuk bantahan yang paling keras yang boleh digunakan oleh Ahli Parlimen di dalam sebuah negara yang berpelembagaan. Ianya menunjukkan bahawa perbahasan isu dalam keadaan sedemikian sebagai sia-sia serta tidak bermakna kerana pihak kerajaan tidak mahu mendengar apa jua hujjah dan akan menggunakan majoriti mereka untuk memaksa RUU yang zalim itu untuk terus diluluskan.

Perancangan mereka jelas kelihatan apabila Ahli Parlimen BN mula kembali dari Perhimpunan UMNO di PWTC pada jam 3.30 petang. Mereka hadir di Perhimpunan UMNO, tidak dengar apa jua hujjah dan datang sebelum pukul 4 untuk mengundi menyokong RUU tersebut.

RANG UNDANG-UNDANG PERUMAHAN RAKYAT 1 MALAYSIA


Pada hari Rabu 30 November pula, RUU yang dibahas adalah RUU berhubung Perumahan Rakyat 1 Malaysia atau PR1MA. Sekali lagi ianya merupakan RUU yang indah khabar dari rupa. Kononnya ianya bertujuan untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat termasuk persoalan projek perumahan terbengkalai dan harga rumah yang meningkat jauh lebih tinggi dari apa yang mampu dibeli rakyat. Namun itu hanya suatu "mirage" atau jelmaan imej yang ingin ditonjolkan. Pada hakikatnya, ianya hanya RUU untuk menubuhkan satu lagi perbadanan tanpa adanya kaedah dan pendekatan penyelesaian masalah yang telah dikenal pasti.

Sedangkan badan-badan untuk menangani persoalan ini sudah sedia ada, seperti SPNB dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Yang tiada bukan satu perbadanan, tetapi yang tiada adalah hala tuju yang jelas dan kesungguhan untuk menyelesaikan masalah. RUU ini kelihatan bertujuan untuk menipu rakyat, memberikan gambaran kerajaan perihatin sedangkan pada hakikatnya tiada apa yang dilakukan.

Ketua Pembangkang menyebut tentang suatu pakatan durjana atau dikenali sebagai "unholy alliance" yang terdiri dari pihak pemaju, bank dan pemimpin politik yang terus menindas rakyat demi kepentingan golongan yang berada. Dan inilah di antara faktor terutama mengapa masalah ini dihadapi oleh rakyat. Perbadanan baru ini tidak akan menghasilkan apa-apa perubahan selain dari perbelanjaan yang lebih kerana membayar gaji CEO dan kakitangan perbadanan ini. Penyelesaiannya terletak pada pemusnahan pakatan durjana ini sehingga kepentingan rakyat diutamakan.

Hakikat bahawa RUU ini merupakan suatu pembohongan di siang hari semakin terserlah apabila wakil rakyat Indera Mahkota menjelaskan bahawa tiada peruntukan dalam Bajet 2012 untuk pembinaan rumah "PR1MA" yang diwawar-wawarkan!

Amat jelas bahawa semua yang dilakukan BN dewasa ini adalah bertujuan untuk memulihkan imej UMNO/BN dalam menghadapi Pilihan Raya ke-13. Ini merupakan pengakuan yang jelas dan muktamad bahawa imej UMNO/BN sememangnya sudah teruk tercalar dan usaha demi usaha perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini. Namun, saya yakin insyaAllah penipuan UMNO/BN tidak akan berkesan dan rakyat terus menyedari wajah UMNO sebenar.

*Tulisan ini dipetik dari blog Khalid Samad (gambar kiri), wakil rakyat Shah Alam.