Demi perjuangan bangsa

Demi perjuangan bangsa – Oleh Daing Yahya

December 2011

Cerpen/Satira

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,

Kalau mahu bangsa kita Melayu selamat, harus beri kami majoriti dua pertiga di Parlimen dan menangkan kami kembali di Pulau Pinang dan Selangor dalam pilihan raya umum akan datang.

Di Selangor kita boleh tengok syiar Islam semakin malap, masjid-masjid sudah tiada cahaya. Kebajikan umat Islam di Selangor tidak terbela, masyarakat Islam di Selangor kini merempat, miskin dan papa kedana.

Memang benar kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor sudah melaksanakan pelbagai kempen untuk menegakkan syiar Islam, menambah peruntukan guru-guru KAFA, menjalankan usaha untuk menggiatkan aktiviti masjid. Tetapi apa ertinya semua itu jika bukan kami yang memimpin tuan-tuan dan puan-puan.

Di Pulau Pinang pula, ekonomi Bumiputera sudah teruk. Mereka dianiaya siang dan malam. Hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Memang ramai kontraktor Melayu mendapat projek. Itu benar. Tetapi apakah mereka dari parti kami? Tentulah tidak. Apa ertinya orang Melayu mendapat kontrak, projek dan program melalui sistem tender terbuka jika mereka bukan dari parti kami?

Lihatlah kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang telah menghina golongan Mat Rempit sehingga mereka tidak ada tempat untuk berlumba. Golongan ini majoritinya anak-anak Melayu yang sengaja dicicirkan dalam pembangunan negeri.

Memanglah di negeri-negeri lain pun Mat Rempit tiada gelanggang untuk berlumba. Itu benar. Tetapi di Pulau Pinang, mereka lebih tertindas, sebab itu kita perlu membela mereka, walau pun di negeri-negeri lain, khususnya yang diperintah oleh parti kami, kita tangkap sahaja Mat Rempit yang selalu menimbulkan masalah ini.

Kenaikan gaji guru-guru KAFA di Pulau Pinang dan Selangor sekadar menjadi gula-gula untuk masyarakat Islam. Ia membayangkan seolah-olah kita tergila-gilakan wang tersebut. Padahal, gaji atau elaun bagi guru-guru KAFA ini tidaklah penting.

Agenda kami

Jika kami yang memerintah Pulau Pinang, sudah tentu gaji guru-guru KAFA ini tidak akan dinaikkan kerana guru-guru tersebut seharusnya mengajar ikhlas tanpa mengharapkan imbuhan wang. Wang kerajaan dapat dijimatkan untuk perkara-perkara yang lebih penting, misalnya untuk penternakan lembu nasional.

Tentulah projek ternakan lembu secara besar-besaran ini mesti diberikan kepada orang-orang besar yang setia dengan kami.

Bukan kami tak mahu berikan kepada tuan-tuan dan puan-puan tetapi fikirkanlah, mustahil projek bernilai beratus juta ringgit termasuk untuk membeli kondominium mewah dan kereta mewah diberi kepada rakyat jelata yang tidak ada sebarang kepakaran menternak lembu atau membeli kondiminium mewah atau pun membeli kereta mewah.

Sejak kami kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen pada pilihan raya yang lalu, ekonomi Bumiputera jatuh teruk, anak-anak Melayu kini semakin tinggi jumlah yang menganggur. Ini semua adalah salah Pakatan Rakyat.

Jika kami ada majoriti dua pertiga, pasti anak-anak muda yang menganggur ini akan kami serapkan ke jabatan kerajaan bagi menjamin kelangsungan kuasa politik dan ekonomi orang-orang Melayu. Sama ada mereka layak atau tidak, itu bukan masalah kami. Lagi pun wang kerajaan adalah duit rakyat, bukannya duit kami, jadi kami akan belanjakan sesuka hati kami.

Harga barang naik juga tidak boleh salahkan kami. Sebagai pemimpin kami kena kekalkan imej mewah pemimpin. Siapa yang sanggup ikut pemimpin yang pakai kereta tempatan yang kecil atau tinggal di rumah pangsa? Ini hak kami sebagai pemimpin.

Jika harga barang naik, tuan-tuan dan puan-puanlah yang perlu mengubah gaya hidup. Kami perlu tarik subsidi barang keperluan harian seperti minyak kerana kami perlu imbangkan dengan subsidi untuk syarikat-syarikat penjana kuasa. Tak kanlah kita nak biarkan syarikat korporat ini rugi.

Kekalkan kuasa bangsa

Yang penting kita mesti kekalkan kuasa politik Melayu. Tentulah kuasa itu tidak boleh dipegang oleh rakyat. Kalau kuasa itu milik rakyat, itu komunis namanya.

Kami sebagai politikus yang paling layak untuk membela nasib orang Melayu. Malah jika Pakatan Rakyat menuduh kami hanya mementingkan kroni, apa salahnya? Ramai kroni kita orang Melayu juga. Apakah kita tidak bangga melihat orang Melayu menjadi jutawan dan billionaire?

Janganlah pula tuan-tuan dan puan-puan cemburu dengan kejayaan mereka. Saya sudah katakan, bukan taraf tuan-tuan dan puan-puan untuk menjadi jutawan. Jadi ubahlah gaya hidup anda.

Kalau kuasa diberi kepada Pakatan Rakyat, habislah orang Melayu. Bayangkan jika orang yang layak diberikan peluang dan kedudukan yang sama? Mana boleh, itu bertentangan dengan perjuangan parti kami. Sama ada kita layak atau tidak, itu tidak penting. Sebab hanya kami dapat menjamin masa depan anda.

Selagi kami berkuasa, jangan bimbang dengan parti-parti lain yang bersama kami. Mereka akan sentiasa tunduk dengan kami. Asalkan ada projek kita berikan, para pemimpin parti komponen tak akan berani mencabar kita.

Tentulah projek-projek itu untuk mereka. Tuan-tuan dan puan-puan tak perlukan semua projek itu. Cukup sekadar undi kami, dan masa depan anda terjamin buat selama-lamanya.

Hanya kami menjamin nasib anda

Kesimpulannya, di Malaysia ini hanya kami sahaja yang boleh menjaga orang Melayu dan memperjuangkan Islam. Parti lain, walau pun kita tahu mereka tidak rasuah, tidak salah guna kuasa dan tidak perkauman, mereka tidak akan dapat menjamin nasib anda.

Kita telah bina beribu-ribu masjid dan surau. Kita telah hias masjid-masjid kita dengan kilauan perhiasan yang hebat-hebat.

Hinggakan ada sesetengah tempat, walau pun surau dan masjid telah mencukupi, kita tetap bina juga bagi menunjukkan bahawa kami membela Islam. Soal membazir atau tidak, itu hanya propaganda pembangkang.

Siapakah yang melaksanakan skim peneroka Felda kalau bukan parti saya? Jika tidak kerana kami, pasti orang Melayu akan merempat. Tentulah selepas pertolongan kami, peneroka perlu bersyukur dan merelakan kami membesarkan Felda.

Biarlah kami menjadikan Felda sebagai korporat gergasi. Cukuplah peneroka menerima imbuhan kecil dari semasa ke semasa. Buat apa peneroka dapat duit banyak sangat? Nanti tak tahu pula apa nak buat dengan duit itu.

Peneroka tahukah cara nak menguruskan korporat? Tahukah cara menyenaraikan syarikat ke bursa saham? Tentulah tidak. Jadi biarlah orang korporat yang melaksanakannya. Lagi pun tokoh-tokoh korporat kita orang Melayu juga.

Ini adalah tindakan wajar kerana hasil para peneroka harus dicambah. Jika tidak wang itu akan menjadi beku dan kerajaan terpaksa mengagihkan wang beratus juta ringgit itu kepada keluarga peneroka. Tentulah ini tidak adil kerana ia akan merugikan kami.

Pertahankan kami demi masa depan anda

Sejak lebih 50 tahun kami memerintah, semuanya baik. Cara kami sudah sebati dengan budaya orang Melayu. Kalau anak-anak kita menjeritkan ‘reformasi’, cepat-cepat tangankan mereka. Itu semuanya fitnah pembangkang.

Bayangkan jika Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya. Tentulah orang Melayu akan sengsara kerana tiba-tiba diberi hak untuk berhimpun secara aman, diberi hak untuk menuntut hak dan paling ngeri sekali, diberi peluang perniagaan untuk bersaing dengan ahli-ahli parti kami.

Mana boleh tuan-tuan dan puan-puan bersaing secara adil dengan kami. Kami kan pembela bangsa Melayu. Alangkah malunya jika dunia mengetahui tuan-tuan dan puan-puan sebagai rakyat mempunyai daya saing yang lebih baik daripada kami.

Lagi pun jika Pakatan Rakyat menjadi kerajaan pusat, tentu mereka akan mereka menyelongkar fail-fail kerajaan yang bakal mendedahkan skandal-skandal rasuah dan salah guna kuasa.

Tentu tuan-tuan dan puan-puan kasihan kepada kami sebagai pembela nasib bangsa. Jika semua itu didedahkan, kelak hanya akan memalukan bangsa Melayu dan Islam. Kita tidak mahu agama dan bangsa kita dimalukan dengan cara sedemikian.

Bayangkan jika Pakatan Rakyat memerintah negara

Jika Pakatan Rakyat memerintah, demokrasi mereka akan menghapuskan segala undang-undang yang kami buat untuk memastikan tidak ada siapa yang tahu apa yang kami buat. Bayangkan jika kami tiada kuasa untuk mengawal cara hidup rakyat. Musnah parti kami.

Jika Pakatan Rakyat memerintah, kami tidak boleh lagi mengawal pelajar dan mahasiswa. Bayangkan jika mahasiswa kita boleh berfikir sendiri. Hancur parti kami.

Jika Pakatan Rakyat memerintah, mahkamah akan bebas manakala hakim-hakim akan berani melaksanakan undang-undang berasaskan keadilan. Bayangkan jika kami tidak boleh lagi menguasai badan kehakiman. Ranap parti kami.

Paling penting sekali, jika orang Melayu menerima prinsip hak dan peluang saksama, jika orang Melayu menerima keadilan yang tidak mengenal kaum, agama, darjat, pangkat dan kedudukan, dan jika orang Melayu menolak ketuanan kaum, maka perjuangan kami tidak akan relevan lagi dalam arena politik negara.

Mampukah anda hidup tanpa kami? – Roketkini.com