Khir Toyo serah sementara gelaran Datuk Seri

January 12, 2011

SHAH ALAM, 12 Jan – Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berkata beliau telah memulangkan sementara pingat Darjah Kebesaran Negeri Selangor yang membawa gelaran ‘‘Dato Seri’’.

Mohamad Khir menulis dalam blognya di http://www.drkhir.com hari ini bahawa tindakan itu diambil selepas beliau dihadapkan ke mahkamah berhubung tuduhan rasuah membabitkan pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7 di sini.

Katanya, pada pertengahan Disember 2010 yang lalu, beliau telah menghantar sepucuk surat kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memulangkan sementara pingat Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran Datuk Seri.

“Hari ini Dewan Diraja (Selangor) telah memperkenankan pemulangan semula pingat tersebut.

“Pemulangan semula pingat ini bagi mengelakkan darjah kebesaran negeri turut terpalit dengan sebarang keaiban sepanjang pertuduhan dan perbicaraan yang akan berlangsung (berhubung kes),” katanya.

Mohamad Khir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang, berkata berikutan itu, semua media dan penganjur program hendaklah menggugurkan nama Datuk Seri dari pangkal namanya dan menggunakan nama Dr Mohamad Khir Toyo sahaja.

Disember lepas, Mohamad Khir, 45, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo No. 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1 L, Seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah syarikatnya Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Beliau juga telah meletakkan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor pada 8 Disember. – Bernama

No comments: