Siswa takut Auku bagai takut hantu - Redzuan Othman
KUALA LUMPUR : Kerajaan dicabar untuk mengembalikan autonomi mahasiswa di dalam Universiti agar mahasiswa dapat menjadi mahasiswa yang berketrampilan dan mampu menggugat sama seperti di zaman 60-an dan 70-an satu ketika dahulu.
Itu yang disaran oleh mahasiswa dan bekas mahasiswa yang menghadiri forum ‘Mahasiswa Menggugat : Realiti atau Fantasi’.
Mereka yang hadir juga menganggap mahasiswa hari ini dilatih seperti ‘budak sekolah’ dan pemimpinnya dilantik seperti sekolah melantik ‘pengawas’ kerana kekangan yang wujud dari pihak universiti.
Persoalan itu juga ditinggalkan kepada Timbalan Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga menjadi ahli panel dalam forum tersebut bagi menjawab adakah kementerian bersedia mengembalikan autonomi sepenuhnya kepada mahasiswa seperti satu ketika dahulu supaya mahasiswa mampu menjadi mahasiswa yang menguggat.
Bagi penulis buku Mahasiswa Menggugat, Prof Dr Mohamad Abu Bakar, cara gugatan mahasiswa hari ini dan satu ketika dahulu amatlah berbeza.
"Pelajar hari ini sungguh menyayat hati, apabila diperhatikan di café-café ketika mereka sedang makan, perbualan mereka tanpa perbualan tentang dunia semasa dan soal intelek,” kata Prof Dr Abu Bakar.
Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Mohamad Redzuan Othman beranggapan pelajar hari ini terlalu takutkan AUKU dan akta-akta yang ada seolah-olah mereka takutkan hantu.
Forum yang dihadiri Mahasiswa dan bekas mahasiswa dari seluruh Negara itu diadakan di Dewan Kuliah F, FSSS, UM, untuk memberi kesedaran tentang peranan dan tangunggjawab mahasiswa dalam pembangunan masyarakat dan Negara.
Selain itu, forum anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang diadakan semalam juga membincangkan dari sudut positif pengertian sebenar aktivis mahasiswa serta meningkatkan nilai integriti mahasiswa kerana mereka adalah pemimpin Negara di masa hadapan.
Berita selanjutnya berkenaan forum ini boleh didapati di akhbar Erapakatan edisi 20 di pasaran pada 17 Mac ini.