Sekitar PRK : Aspirasi Guna Pisau, Koyak Kain Rentang?
KUALA LUMPUR : Rapat umum mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) dicemari dengan perkara yang tidak diingini apabila seorang mahasiswa Aspirasi dikatakan telah menggunakan pisau di hadapan puluhan mahasiswa untuk mengoyakkan kain rentang yang dibawa para penyokong Pro Mahasiswa semalam.
"Lelaki itu melakukan provokasi dengan mengeluarkan pisau dan mengoyakkan kain rentang yang dipegang mahasiswa. Dia dipercayai mahasiswa Aspirasi sendiri yang mengaku dirinya mahasiswa," kata seorang mahasiswa di universiti, Mohd Hafiz Hashim (samaran) kepada erapakatan.com.
Menurut Hafiz, mahasiswa itu juga cuba merampas kain rentang daripada pelajar berkenaan.
"Tindakan itu dianggap berbahaya kerana lelaki itu menggunakan senjata tajam di hadapan mahasiswa dalam rapat umum berkenaan," kata beliau.
Rapat umum itu menghimpunkan mahasiswa-mahasiswa daripada Pro Mahasiswa dan Pro Aspirasi sempena pilihan raya kampus yang akan diadakan esok.