Bersih pertikai pelantikan Pengerusi baru SPR

Selasa , 11 November 2008 • Kategori: Berita Semasa, Berita Utama, Nasional, Politik
oleh Syukree Hussain
KUALA LUMPUR, 11 November (SK) - Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mempersoal kelayakan bakal Pengerusi baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Aziz Mohd Yusof.
Perkara itu disuarakan oleh wakil Bersih Teresa Kok ketika ditemui petang tadi.
Menurut Teresa yang juga merupakan Ahli Parlimen Seputeh, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri yang tidak mempunyai pengalamanan dalam bidang piliharan raya tidak sepatutnya dilantik
Abdul Aziz akan mula bertugas sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkuat kuasa mulai 31 Disember ini.
Ketua Setiausaha Negara Mohd Sidek Hassan berkata Yang diPertuan Agong memperkenankan pelantikan Abdul Aziz mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.
Pelantikan Abdul Aziz, 58, sebagai Pengerusi SPR sehingga beliau genap berusia 66 tahun, selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.
Abdul Aziz dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 24 Jan 1950.
Abdul Aziz, yang sebelum bersara wajib pada 24 Jan 2006 berkhidmat sebagai Ketua Setiusaha Dalam Negeri, dan dilantik semula memegang jawatan yang sama secara kontrak.
Pelantikan Abdul Aziz sebagai Pengerusi SPR adalah bagi menggantikan Abdul Rashid Abdul Rahman yang tamat tempoh perkhidmatan kerana mencapai umur 66 tahun pada 30 Disember ini.
Abdul Aziz mesti menjadi pengerusi yang telus dan beramanah - Anwar
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyambut baik pelantikan Abdul Aziz.
Walau bagaimanapun, kata Anwar, Pakatan Rakyat rakyat akan menunggu kenyataan awal Abdul Aziz berhubung pendekatan yang bakal diambil.
“Kita akan tunggu kenyataaan awal dan langkah-langkah yang beliau akan ambil sebelum ditentukan sikap kita berikutnya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pakatan Rakyat di Parlimen hari ini.
Menurut ahli Parlimen Permatang pauh itu, sebagai pegawai pentadbir yang baik dan berwibawa, tapi masyarakat tahu bahawa tugas SPR selama ini paling tidak menyenangkan pelbagai pihak dan dipertikaikan ketelusannya.
“Oleh yang demikian pihak pakatan amat mengharapkan seorang tokoh yang betul-betul dianggap bebas untuk mengendali atau memimpin SPR,” katanya.
Ketua Umum KeADILan itu berharap Abdul Aziz memikul amanah yang diberikan dengan bebas dan adil.
“Beliau kini sebagai seorang Pengerusi SPR bukan sebagai seorang setiausaha kementerian ataupun sebagai seorang kakitangan awam senior,” katanya.
Menurut beliau lagi, Abdul Aziz perlu memikul tanggungjawab yang diberikan dengan profesional tanpa menimbulkan keraguan mana-mana pihak.


Artikel Terkini
Bersih pertikai pelantikan Pengerusi baru SPR
Pakatan Rakyat adakan mesyuarat di Parlimen
Isu Keganasan Polis: Syed Hamid, Ketua Polis S’gor mesti bertanggungjawab
Usul ditolak: Tidak rayu pembebasan RPK
Video: Pas kutuk tangkapan semasa perhimpunan Bersih