PAS kesal Umno guna sekolah untuk kepentingan parti


Salman Hussin
Sat | Nov 24, 07 | 1:57:09 pm MYT

MUAR, 24 Nov (Hrkh) - Yang DiPertua (YDP) PAS Muar, Ustaz Abu Bakar Mohd Lajat, kesal dengant indakan Umno Bahagian Muar yang menggunakan premis kerajaan bagi mengadakan kegiatan parti mereka.

Beliau juga kesal dengan sikap pengetua sekolah terbabit yang membenarkan premis sekolah mereka digunakan untuk mengadakan majlis rasmi parti, katanya semasa ditemui di sini.

Beliau berkata demikian sebagai membantah tindakan Umno Bahagian Muar, mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri di Sekolah Menengah Tengku Mahkota, dekat sini, 21 Oktober lalu.

Difahamkan, Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, turut hadir pada majlis ini.

Menurut Ustaz Bakar, surat bantahan berhubung perkara tersebut telahpun dihantar kepada Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran Malaysia, Pengarah Pelajaran Negeri Johor, Pegawai Pelajaran Daerah Muar dan juga Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Bagaimanapun katanya, sehingga kini pihaknya masih belum menerima apa-apa maklum balas secara rasmi daripada pihak-pihak berkenaan berhubung bantahan ini.

Katanya, sebagai pengetua atau pentadbir sekolah yang termasuk dalam kategori kumpulan A, beliau tidak boleh sama-sekali melibatkan diri dengan mana-mana parti politik.

Perkara ini jelas terkandung di dalam Bahagian II, (Tatakelakuan) bil. 21(1) – bab D (Peraturan-Peraturan Pegawai A – Kelakuan dan Tatatertib 1993), yang mana antara lain menjelaskan, "Pegawai-Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau memakai mana-mana lambang parti politik".

"Dalam hal ini pengetua sekolah terbabit dengan jelas telah melanggar peraturan ini dan saya mendesak supaya tindakan tegas diambil terhadap beliau," katanya.

Katanya, selain membenarkan Umno Bahagian Muar mengadakan program di sekolah tersebut, mereka juga membenarkan bendera-bendera Umno dipasang dalam kawasan sekolah, seolah-olah premis ini milik Umno.

Ustaz Bakar yang juga bekas pegawai kerajaan beranggapan, tindakan pengetua sekolah tersebut membenarkan parti politik mengadakan majlis di sekoah mereka sebagai amat bertentangan dengan Peraturan Pegawai Awam – Kelakuan dan Tatatertib 1993.

Sehubungan itu beliau mendesak Kementerian Pelajaran Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap pengetua sekolah terbabit yang secara jelas telah melanggar peraturan ditetapkan kerajaan. - mns


No comments: