Hairan juga melihat sebahagian pemimpin UMNO yang tidak berpuas hati dengan pendirian AGC berhubung tahanan rumah Najib, kembali membangkitkan isu Titah Addendum.
Yang peliknya, kemarahan mereka banyak dihalakan kepada kerajaan Anwar Ibrahim. Sedangkan UMNO sendiri sebahagian daripada kerajaan yang mereka salahkan.
Tetapi ada satu perkara asas yang sepatutnya mereka faham. Kalau benar wujud Titah Addendum berkaitan tahanan rumah Najib, siapa sebenarnya pihak paling berautoriti untuk mengesahkan dan mengumumkan titah tambahan itu sebagai sebahagian daripada keputusan pengampunan rasmi?
Tengok sahaja sejarah. Pengampunan penuh Anwar Ibrahim pada 2018 diumumkan oleh Istana Negara melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja. Pengurangan hukuman Najib pada Februari 2024 pula diumumkan oleh Urus Setia Lembaga Pengampunan.
Malah, Anwar sendiri ketika ditanya tentang pengampunan Najib pada 2024 meminta semua pihak menunggu pengumuman Lembaga Pengampunan.
Jelas, amalan selama ini menunjukkan pengumuman rasmi keputusan pengampunan dibuat melalui saluran institusi diraja atau Lembaga Pengampunan, bukannya sesuka hati oleh Perdana Menteri.
Jadi, kalau Titah Addendum itu hendak disahkan sebagai sebahagian daripada keputusan pengampunan rasmi, bukankah saluran Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong merupakan pihak paling relevan dan berautoriti untuk mengesahkannya?
Kenapa pula PMX dijadikan sasaran seolah-olah beliau boleh mengisytiharkan sendiri sesuatu keputusan pengampunan diraja?
Atau sebenarnya serangan terhadap PMX itu cara paling mudah untuk UMNO meluahkan rasa tidak puas hati terhadap isu Titah Addendum tanpa perlu menyentuh secara langsung saluran pengampunan diraja?
Jangan kerana terlalu ghairah bermain politik, sampai rakyat diberi gambaran seolah-olah Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak dalam urusan pengampunan.
Titah Raja wajib dihormati. Proses Perlembagaan juga wajib dihormati. Jangan kerana mahu menyalahkan PMX, bidang kuasa institusi pun dibuat-buat lupa.

No comments:
Post a Comment