Bekalan beras tahan enam bulan, ikan lapan bulan, Mat Sabu minta rakyat jangan panik
Kerajaan memberi jaminan Malaysia mempunyai persediaan mencukupi bagi menghadapi kemungkinan serangan siber yang akan menyebabkan rangkaian komunikasi negara terputus.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Malaysia setakat ini mempunyai bekalan beras mencukupi untuk menampung keperluan sekurang-kurangnya enam bulan, manakala bekalan ikan mampu bertahan sehingga lapan bulan.
Beliau menyeru supaya rakyat Malaysia tidak bertindak panik kerana kerajaan tetap bersedia dengan segala kemungkinan.
“Dengan izin Allah, tidak perlu panik kerana kita mempunyai stok beras yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya enam bulan. Ketika ini, bekalan ikan pula mencukupi untuk lapan bulan, manakala bekalan makanan lain juga tersedia.
“Bagaimanapun, sekiranya berlaku serangan siber sehingga menyebabkan komunikasi terputus, kita bersedia menghantar bekalan makanan secara fizikal melalui ladang,” katanya ketika berucap pada Forum Cendekiawan Malaysia MADANI ke-14 malam tadi.
Mohamad berkata, langkah persediaan perlu dilaksanakan lebih awal walaupun ancaman berkenaan tidak menjadi kenyataan.
“Jika perkara itu tidak berlaku, Alhamdulillah. Namun, persediaan mesti dilakukan dan kita perlu mula mendidik masyarakat supaya bersedia menghadapi peperangan siber pada masa depan,” katanya.

No comments:
Post a Comment