
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi ketika mengadakan mesyuarat pengurusan kewangan kerajaan di Bangunan Parlimen, Tokyo pada 25 Jun 2026.
TOKYO, 6 Nov – Pakej langkah kecemasan bernilai 10 bilion yen (AS$63 juta) diaktifkan kerajaan Jepun khusus bagi menangani peningkatan serangan siber susulan puluhan syarikat di negara itu melaporkan insiden pencerobohan sistem dan risiko kebocoran data pelanggan sejak beberapa minggu lalu.
Perdana Menteri, Sanae Takaichi berkata, pakej berkenaan dirangka susulan ancaman serangan siber yang semakin serius, selain mengambil kira kepantasan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang turut membuka ruang kepada kaedah pencerobohan baharu.
“Mengambil kira situasi semasa membabitkan serangan siber yang semakin serius, semua menteri yang hadir hari ini berganding bahu merangka ‘pakej langkah tindak balas kecemasan’,” katanya ketika bermesyuarat bersama barisan menteri hari ini.
Pakej itu pada peringkat awal akan menggunakan peruntukan 10 bilion yen (AS$63 juta) daripada belanjawan kerajaan, namun jumlah keseluruhan kos dijangka lebih tinggi.
Sehubungan itu, Takaichi meminta Menteri Kewangan mencari sumber peruntukan tambahan bagi memastikan keseluruhan pelan berkenaan dapat dilaksanakan.
Beliau berkata, langkah yang dirangka merangkumi pengukuhan keselamatan siber, termasuk melalui penggunaan AI, penambahbaikan sistem penyiasatan serta peningkatan bantuan kepada mangsa dan usaha membendung kesan serangan daripada terus merebak.
Laporan media tempatan turut menyebut pakej itu merangkumi penubuhan pasukan penyelamat siber yang akan dianggotai pakar daripada sektor kerajaan dan swasta.
Akhbar Yomiuri Shimbun, Jiji Press dan beberapa media lain melaporkan, kerajaan akan menubuhkan sebuah sekretariat dalam tahun kewangan semasa bagi menyelaras pengerahan pasukan itu ketika keperluan bantuan berada pada tahap mendesak.
Walaupun tidak menyentuh secara khusus mengenai penubuhan pasukan berkenaan, Takaichi menegaskan keperluan menggerakkan seluruh keupayaan kerajaan bagi menangani ancaman siber yang semakin pantas dalam era AI.
“Pada saat ini juga, insiden pencerobohan tanpa kebenaran dan kebocoran maklumat berlaku berturut-turut, sekali gus memberi kesan besar terhadap kehidupan rakyat serta aktiviti korporat,” katanya.
“Marilah kita menggerakkan sepenuhnya keupayaan kerajaan untuk memperkukuh keseluruhan keupayaan negara dalam menangani ancaman ini,” katanya. — AFP


No comments:
Post a Comment