Oleh: Dr Mukhtaruddin Musa
Ketua Penyelidik (Governans & Polisi)
Yayasan Strategik Lestari
Pemerhati Politik
Bukan Sekadar Isu Lesen Judi
Keputusan Mahkamah Persekutuan yang tidak memberikan kebenaran kepada Kerajaan Negeri Kedah meneruskan rayuan berhubung dasar tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen premis perjudian perlu dilihat lebih luas daripada persoalan menang atau kalah di mahkamah.
Isu ini membuka perbahasan penting mengenai hubungan antara mandat politik, dasar awam dan batas kuasa kerajaan negeri dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Pertikaian ini bermula apabila Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk tidak lagi memperbaharui atau mengeluarkan lesen premis bagi perniagaan pertaruhan pool betting mulai 1 Januari 2023.
Selepas keputusan tersebut dicabar, Mahkamah Tinggi memihak kepada pihak pemohon. Kerajaan Negeri kemudiannya membawa perkara itu ke Mahkamah Rayuan, tetapi rayuannya ditolak melalui keputusan majoriti 2-1. Kerajaan Kedah tidak berhenti di situ. Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menyatakan kerajaan negeri akan membawa perjuangan tersebut ke Mahkamah Persekutuan.
Usaha mempertahankan dasar ini selama bertahun-tahun sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa bagi Kerajaan Kedah, isu tersebut bukan sekadar pentadbiran lesen, tetapi sebahagian daripada pendirian dasar yang ingin dilaksanakan melalui mandat politik yang diperolehnya.
Keputusan 2-1 dan Persoalan Bidang Kuasa
Keputusan Mahkamah Rayuan sangat penting untuk difahami dengan tepat. Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Faizah Jamaludin membentuk majoriti yang menolak rayuan Kerajaan Negeri. Mahkamah berpandangan bahawa perjudian dan loteri terletak dalam bidang kuasa Persekutuan, sementara syarikat terlibat beroperasi berdasarkan lesen Persekutuan yang dikeluarkan Menteri Kewangan di bawah Akta Pertaruhan Wang Terkumpul 1967.
Menurut majoriti, kerajaan negeri tidak boleh menggunakan kuasa pelesenan premis sehingga kesannya menjadi larangan menyeluruh terhadap aktiviti yang dibenarkan oleh undang-undang Persekutuan. Namun, Hakim Datuk Azizah Nawawi mengambil pendirian berbeza. Dalam penghakiman minoriti, beliau melihat keputusan kerajaan negeri sebagai suatu keputusan dasar yang dibuat berdasarkan pertimbangan moral, sosial dan kepentingan awam.
Perbezaan pandangan 2-1 ini penting kerana ia memperlihatkan bahawa persoalan tersebut mempunyai dimensi perundangan yang kompleks. Justeru, isu sebenar bukan sama ada mahkamah menyokong perjudian atau menolak Islam. Membingkaikannya begitu adalah tidak tepat. Persoalan undang-undangnya ialah sejauh mana kerajaan negeri boleh menggunakan kuasa pentadbirannya apabila pelaksanaan dasar tersebut bertembung dengan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Kerajaan Persekutuan.
Kedah Sudah Berusaha, Namun Tetap Terbatas
Di sinilah keputusan tersebut membawa satu pengajaran politik yang lebih besar. Kerajaan Kedah telah menggunakan ruang kuasa yang difikirkannya tersedia untuk melaksanakan dasar yang diyakini selari dengan aspirasi pentadbirannya. Namun apabila pertikaian sampai ke mahkamah, batas federalisme menjadi penentu.
Mahkamah Rayuan menegaskan bahawa kuasa negeri terhadap lesen premis tidak boleh digunakan sehingga secara praktikal meniadakan suatu aktiviti yang berada dalam bidang kuasa Persekutuan. Maka persoalan yang lebih besar perlu ditanyakan: jika sebuah kerajaan negeri mempunyai dasar untuk mengehadkan atau menghentikan perjudian atas pertimbangan agama, moral dan kebajikan masyarakat, tetapi instrumen undang-undang utamanya berada di peringkat Persekutuan, sejauh manakah dasar itu boleh dilaksanakan tanpa kesediaan politik di Putrajaya? Inilah titik yang sering terlepas dalam perbahasan.
Dalam sistem federalisme, kemenangan di peringkat negeri tidak semestinya memberikan kuasa terhadap semua perkara. Ada dasar yang memerlukan keselarasan antara negeri dengan Persekutuan. Perjudian dan loteri merupakan antara bidang yang Perlembagaan letakkan pada peringkat Persekutuan. Justeru, sekiranya perubahan yang lebih menyeluruh dikehendaki, medan politik dan perundangannya juga perlu melibatkan Kerajaan Persekutuan.
Kuasa Politik Menentukan Sejauh Mana Dasar Boleh Dilaksanakan
Bagi umat Islam, episod Kedah ini membawa satu pengajaran penting mengenai hubungan antara cita-cita politik dengan struktur kuasa. Islam secara jelas mengharamkan perjudian, tetapi dalam sebuah negara berperlembagaan seperti Malaysia, sesuatu dasar awam tetap perlu dilaksanakan melalui bidang kuasa dan proses undang-undang yang sah. Di sinilah kuasa politik menjadi penting.
Kerajaan negeri boleh mempunyai aspirasi tertentu, tetapi apabila perkara berkenaan berada dalam bidang kuasa Persekutuan, kemampuan negeri mempunyai batas. Kerajaan PAS Kedah memilih untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian atas pertimbangan agama, moral dan kemaslahatan masyarakat.
Namun, pendirian berbeza dengan DAP. Pemimpin DAP Kedah, Teh Swee Leong, pernah menyatakan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan negeri menamatkan lesen premis perjudian dan membangkitkan kesannya terhadap pekerja dalam sektor berkenaan.
Kebajikan pekerja sememangnya perlu diberikan perhatian namun kerajaan Kedah bukan sekadar melihat kepada kebajikan pekerja, malah lebih dari itu. Semua maklum mempertahankan pekerjaan tidak semestinya bermakna industri perjudian perlu dikekalkan. Kerajaan boleh menyediakan peluang pekerjaan alternatif dan langkah peralihan kepada pekerja yang terjejas. Di sinilah terserlah perbezaan keutamaan politik: satu pihak mahu menghapuskan perjudian atas pertimbangan Islam dan kemaslahatan sosial, manakala pihak lain mempertahankan kelangsungan premis tersebut atas pertimbangan lain.
Lebih penting, keputusan mahkamah menunjukkan bahawa kehendak politik di peringkat negeri sahaja mempunyai batas apabila sesuatu perkara berada dalam bidang kuasa Persekutuan. Dalam kes ini, aktiviti perjudian tertentu dilesenkan melalui kerangka undang-undang Persekutuan di bawah Kementerian Kewangan. Maka, jika aspirasi untuk membendung perjudian mahu dilaksanakan secara lebih menyeluruh, ia memerlukan kesediaan politik bukan sahaja di Alor Setar, tetapi juga di Putrajaya.
Inilah mesej yang disampaikan oleh MB Kedah baru-baru ini.
Kita harus sedar, siapa yang memegang kuasa akan mempengaruhi dasar yang diperjuangkan dan keutamaan yang diberikan. Bagi umat Islam yang mahu nilai Islam diterjemahkan melalui dasar pemerintahan, memiliki cita-cita sahaja tidak mencukupi. Kuasa politik, kefahaman terhadap Perlembagaan dan kemampuan menggubal dasar yang sah perlu bergerak bersama.
Kesimpulan
Keputusan ini membawa perbahasan kepada persoalan asas: untuk apakah kuasa politik dicari? Dalam demokrasi, kuasa ialah instrumen untuk melaksanakan dasar yang membawa kebaikan kepada masyarakat. Kes Kedah menunjukkan tekad politik kerajaan negeri tetap tertakluk kepada pembahagian kuasa Perlembagaan.
Pengajarannya bukan mempertikaikan institusi kehakiman, tetapi memahami bahawa agenda politik memerlukan kuasa pada peringkat yang mempunyai bidang kuasa berkaitan. Bagi umat Islam yang mahu nilai agama, kebajikan dan kemaslahatan diterjemahkan melalui pemerintahan, kuasa negeri dan Persekutuan perlu diamanahkan kepada mereka yang memahami Perlembagaan, menghormati undang-undang dan mampu menterjemahkan prinsip kepada dasar berkesan.
Akhirnya, politik bukan sekadar siapa memerintah, tetapi nilai yang diperjuangkan demi kebaikan dunia dan pertanggungjawaban di akhirat.
https://www.kedahonline.com/2026/08/isu-lesen-judi-kedah-apabila-dasar.html

No comments:
Post a Comment