
Sesi kunjungan hormat dan sesi libat urus Bahagian Komunikasi Strategik SPRM ke Jabatan Komunikasi Korporat MCMC diketuai Hisyam Mohd Yusoff pada 8 Julai 2026. Foto Ihsan SPRM.
CYBERJAYA, 8 Jul – Dua agensi berkongsi kaedah pengurusan komunikasi krisis dan usaha menangani penyebaran kandungan digital yang boleh mencetuskan kegusaran awam.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggabungkan kepakaran masing-masing dalam menguruskan situasi berkenaan bagi mengelak terjadinya sebarang keadaan.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd Yusoff, berkata kerjasama erat antara agensi berkaitan amat penting bagi memastikan pengurusan sesuatu krisis dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, pantas dan berkesan.
Beliau mencadangkan MCMC menyelaras kerjasama antara agensi berkaitan bagi memperkukuh mekanisme pengurusan krisis serta mempercepatkan penyampaian maklumat dan tindakan terhadap isu yang timbul.
“SPRM kini sedang mengusahakan pengiktirafan pensijilan ISO bagi pengurusan krisis sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Strategik SPRM 2026-2030.
“ISO ini nanti boleh diguna pakai oleh semua agensi sebagai satu garis panduan dalam pengurusan krisis,” katanya pada sesi libat urus bersama MCMC di Creative Hub, Menara 1, MCMC, Cyberjaya, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah BKS SPRM, Tuan Jules Rahman Ong dan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat MCMC, Zul Fikri Zamir Mohamad Munir.
Sementara itu, Ketua Bahagian Komunikasi dan Hubungan Industri MCMC, Shirley Tan Shuo Ling berkata, analisis sentimen yang dijalankan oleh pihaknya berpandukan dua sumber utama, iaitu liputan media dan pandangan key opinion leader (KOL).
“Kedua-dua kaedah ini membantu agensi mengenal pasti isu yang berpotensi mencetuskan krisis.
“Analisis ini membolehkan sesuatu isu dipantau secara lebih sistematik, sekali gus membolehkan tindakan komunikasi diambil dengan lebih pantas bagi menangani persepsi negatif masyarakat sebelum ia berkembang menjadi krisis yang lebih besar,” katanya.
Ketua Bahagian Pengurusan Platform Kandungan MCMC, Mai Zairani Zainal Abidin pula berkata, MCMC boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana kandungan dalam talian yang melanggar peruntukan undang-undang, termasuk kandungan palsu, sumbang, jelik, lucah dan mengancam.
“MCMC sedia bekerjasama dan membantu SPRM dalam menangani isu-isu mengenai kandungan dalam talian.
“Selain itu, MCMC juga mempunyai kuasa untuk mengarahkan portal media menurunkan kandungan yang didapati melanggar peruntukan undang-undang, selain memberikan keutamaan kepada kes yang melibatkan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih pantas,” katanya.

No comments:
Post a Comment