\
Malaysia sebenarnya menanggung hutang berkaitan skandal mega yang merugikan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM51.4 bilion.
Daripada jumlah itu, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion sehingga 30 Jun lalu, bagi melunaskan hutang dan komitmen 1MDB termasuk bayaran prinsipal, faedah, kos guaman, operasi serta komitmen lain.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, Malaysia bagaimanapun masih menanggung Sukuk Islamic Medium-Term Note (IMTN) yang dijamin kerajaan berjumlah RM8.9 bilion.
Ia melibatkan bayaran prinsipal sebanyak RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion yang akan matang pada 2039.
“Ini bermakna secara keseluruhan, tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak RM51.4 bilion.
“Setakat ini, kerajaan telah berjaya mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB berjumlah RM31.3 bilion.
“Sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan, kerajaan masih perlu menanggung baki sebanyak RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi tersebut,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Chin Tong menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) berkenaan jumlah keseluruhan hutang 1MDB yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.
No comments:
Post a Comment