Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru anak-anak Johor yang bekerja atau belajar di luar negeri supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, hari pengundian bukan sekadar proses memilih wakil rakyat, sebaliknya detik penting untuk menentukan hala tuju masa depan negeri Johor.
Menurutnya, setiap undi amat bermakna, khususnya dalam memastikan Johor terus bergerak ke hadapan sebagai negeri yang lebih maju, makmur dan sejahtera.

“Kepada anak-anak Johor yang bekerja atau belajar di luar negeri, pulanglah mengundi. Inilah masa untuk kita menentukan masa depan negeri yang kita cintai.
“11 Julai nanti keluarlah mengundi. Setiap undi amat bermakna,” katanya ketika hadir bersama rakyat dalam Ceramah Kelompok Bukit Kangkar, DUN Serom, malam tadi.
Menunaikan tanggungjawab
Beliau yang mesra disapa Bang Mat turut menyeru ibu bapa supaya membawa anak-anak mereka yang sudah cukup umur mengundi untuk bersama-sama menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat.
Katanya, penyertaan anak muda dalam proses demokrasi amat penting kerana mereka juga merupakan sebahagian daripada generasi yang akan mewarisi masa depan Johor.
“Ibu bapa yang mempunyai anak yang sudah cukup umur mengundi, bawalah mereka bersama-sama menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat,” kata Mohamad.

Dalam masa sama, beliau turut mengajak pengundi di DUN N.11 Serom memberikan sokongan padu kepada calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Nazari.
Beliau berkata, sokongan kepada calon PH penting bagi meneruskan usaha membina Johor yang lebih stabil, progresif dan sejahtera untuk semua lapisan rakyat.
“Ayuh kita berikan sokongan padu kepada calon Pakatan Harapan N.11 Serom, Ahmad Nazari.
“Bersama-sama kita terus membina Johor yang lebih maju, lebih makmur dan lebih sejahtera,” katanya.
Mohamad turut mengulangi slogan kempen PH, “Johor Ke Depan, Undi Harapan” sebagai seruan kepada pengundi menjelang hari pengundian.
Untuk rekod, PRN Johor ke-16 menyaksikan hampir separuh daripada keseluruhan daftar pemilih negeri merupakan pengundi muda sekaligus menjadi antara penentu utama keputusan pilihan raya kali ini.
Terdapat seramai 2,727,926 pengundi berdaftar dengan 1,297,931 daripadanya berusia antara 18 hingga 39 tahun.
No comments:
Post a Comment