Jangan biar orang lain tentukan masa depan Machap, Hafiz rayu pengundi luar pulang

 


Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap, Nur Hafiz Roslan merayu pengundi kawasan itu yang berada di luar daerah supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada 11 Julai ini.

Beliau berkata, setiap undi mempunyai makna besar dalam menentukan hala tuju Machap untuk tempoh lima tahun akan datang, khususnya membabitkan masa depan keluarga, masyarakat dan generasi akan datang.

Peguam syarie berkenaan berkata, walaupun sebahagian pengundi kini bekerja, belajar atau menetap di luar kawasan, kepulangan mereka pada hari pengundian amat penting bagi memastikan suara rakyat Machap diterjemahkan melalui peti undi.

“Kepada seluruh pengundi DUN Machap yang kini berada di luar kawasan, saya ingin merayu dengan penuh harapan agar tuan-tuan dan puan-puan dapat meluangkan masa untuk pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 11 Julai 2026.

“Setiap undi membawa makna yang besar dalam menentukan hala tuju DUN Machap untuk masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.

Untuk rekod, Hafiz, 41, berdepan saingan satu lawan satu dengan penyandang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, 47, yang juga Pengerusi Umno negeri dan BN negeri.

Impak besar

Mengulas lanjut, Hafiz yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional berkata, satu undi daripada pengundi yang pulang mampu memberi impak besar kepada masa depan kawasan berkenaan.

Jelasnya, perjalanan pulang untuk mengundi perlu dilihat sebagai satu bentuk pengorbanan demi melaksanakan hak dan tanggungjawab sebagai rakyat.

“Walau sejauh mana kita berada, satu undi daripada anda mampu memberikan impak kepada masa depan keluarga, masyarakat dan generasi akan datang.

“Jika berkemampuan, marilah kita bersama-sama pulang mengundi,” kata pemimpin muda AMANAH itu.

Dalam rayuan sama, Hafiz turut mengingatkan pengundi supaya tidak membiarkan masa depan Machap ditentukan tanpa penyertaan suara mereka sendiri.

Katanya, hari pengundian pada 11 Julai ini menjadi peluang penting kepada rakyat Machap untuk memilih wakil yang akan membawa aspirasi kawasan tersebut.

“Jangan biarkan orang lain menentukan masa depan kawasan kita tanpa suara anda.

“Pada 11 Julai 2026, ayuh pulang dan tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Hafiz yang menjadi calon nombor satu di kertas undi itu turut menyeru pengundi memberikan sokongan kepada beliau selaku calon nombor satu bagi DUN Machap.

“Satu undi anda amat bermakna. Pulanglah mengundi demi DUN Machap.

“Undi No. 1, Nur Hafiz Roslan. Johor Ke Depan, Undi HARAPAN,” katanya.





No comments: