BERMULA DI PRN JOHOR, PENGUNDI MELAYU MESTI LEBIH RAMAI KELUAR MENGUNDI
Apabila media melaporkan sebanyak 134 persatuan Cina termasuk Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), mengeluarkan kenyataan bersama menggesa pengundi kaum itu di Johor dan Negeri Sembilan pulang mengundi dan tidak melakukan pemboikotan, ia adalah gambaran jelas bahawa DAP sedang dalam keresahan.
Parti itu ternyata bimbang dengan penolakan yang semakin ketara daripada pengundi Cina dan mungkin membuatkan apa yang berlaku dalam PRN Sabah sebelum ini berulang kembali.
Dalam PRN Sabah baru-baru ini, DAP menerima keputusan paling buruk iaitu gagal memenangi sebarang kerusi.
Dalam laporan media itu, selain KLSCAH, kenyataan bersama itu turut ditandatangani Dong Zong (Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia), Jiao Zong (Persekutuan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia), Merdeka University Berhad (MUB), pelbagai dewan perhimpunan Cina negeri, Pusat Kajian Cina Malaysia (CMCS), serta Yayasan Kebudayaan LLG.
Adalah difahamkan semua persatuan itu merupakan entiti yang selama ini condong kepada DAP.
Sekiranya pengundi Cina tidak keluar mengundi pada PRN Johor pada 11 Julai ini dan seterusnya di Negeri Sembilan pada 1 Ogos akan datang, tidak disangkal lagi DAP akan sekali lagi menerima nasib yang buruk.
Dengan kekalahan berturut-turut itu, DAP berdepan kemungkinan hilang lebih banyak kerusi Parlimen pada PRU akan datang.
Tujuan 134 persatuan Cina itu mengeluarkan kenyataan bersama adalah bagi menyelamatkan masa depan DAP dan mengelakkan parti itu ditimpa nasib buruk.
Tidak mungkin tujuan mereka itu untuk menyelamatkan masa depan MCA atau Gerakan.
Berikutan gesaan tersebut, tidak mustahil pengundi Cina, bermula di Johor dan seterusnya Negeri Sembilan, akan keluar mengundi dengan lebih ramai lagi.
Pengundi yang berada di luar kawasan atau luar negara, dijangka akan turut terpanggil untuk pulang.
Apakah ia akhirnya akan menyebabkan DAP kembali bernyawa?
Pilihan raya dan mengundi adalah proses demokrasi di mana semua orang bebas memastikan mana-mana pihak beroleh kemenangan selagi tidak melanggar undang-undang dan perlembagaan.
Susulan itu, pengundi Melayu tidak harus berdiam diri saja melihat perkembangan yang berlaku susulan tindakan 134 persatuan Cina itu.
Harus segera diusahakan agar pengundi Melayu juga dapat turun beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka.
Selain turun mengundi, paling penting ialah pengundi Melayu harus pula memastikan hanya memberi undi mereka kepada parti Melayu atau parti bukan Melayu yang tidak ekstrem serta disenangi saja.
Tidak kisah parti apa, selagi parti Melayu itu berpotensi beroleh kemenangan, berikanlah undi kepadanya.
Begitu juga di kawasan yang tiada parti Melayu bertanding, maka undi hendaklah diberikan kepada parti bukan Melayu yang sederhana serta tidak pernah membuatkan hati orang Melayu terguris.
Ini bukan soal perkauman, tetapi inilah langkah untuk memastikan kestabilan dan keamanan.
Apabila pengundi Melayu lebih ramai keluar mengundi dan hanya melorongkan undi mereka kepada parti Melayu dan parti bukan Melayu yang tidak ekstrem, itulah akhirnya akan menjelmakan kestabilan serta mengelakkan perpecahan di negara ini.
Cukuplah Melayu berpecah dan jika PAS pun sanggup melakukannya bermula di PRN Johor ini, tiada sebab pengundi Melayu yang lain tidak boleh melakukan hal yang sama.
Yeahhhh…Melayu Boleh!!! - ShahbudinHusin 09Julai2026.
No comments:
Post a Comment