Memandu Bawah Pengaruh Alkohol, Dadah, 24 Maut Sehingga Mei

 


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto Facebook Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR, 9 Jul – Malaysia merekodkan 24 kemalangan maut membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata polis merekodkan 48 kemalangan membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah antara 1 Januari hingga 31 Mei, dengan lapan daripadanya mengakibatkan kecederaan parah, sembilan menyebabkan kecederaan ringan, manakala tujuh hanya membabitkan kerosakan harta benda.

“Dalam tempoh yang sama, polis menahan 912 pemandu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah,” katanya.

Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan seorang pemandu disyaki di bawah pengaruh alkohol di Jalan Dominic pada 10 April 2026. Foto Polis Tawau

Beliau menjawab pertanyaan V Ganabatirau (PH–Klang) mengenai data terkini dari 2023 hingga 2026 berkaitan kemalangan jalan raya dan kematian mengikut jenis kenderaan, serta jumlah kes yang berpunca daripada pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Loke berkata, jumlah pemandu yang ditahan atas kesalahan itu menurun kepada 1,820 orang tahun lalu, berbanding 2,468 orang pada 2024 dan 3,299 orang pada 2023.

Beliau berkata polis merekodkan 77 kemalangan membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah pada 2025 termasuk 33 kemalangan maut.

Pada 2024, sebanyak 92 kemalangan direkodkan termasuk 45 kemalangan maut, manakala pada 2023 terdapat 48 kemalangan termasuk 22 kemalangan maut.

“Pada tahun lalu, 13 orang maut dalam kemalangan yang membabitkan alkohol, iaitu 0.2 peratus daripada keseluruhan 6,537 kematian akibat kemalangan jalan raya yang direkodkan di seluruh negara.

“Pada 2024, seramai 12 orang maut daripada 6,464 jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya (0.19 peratus), manakala pada 2023, sebanyak 13 kematian direkodkan daripada 6,473 jumlah kematian (0.2 peratus), dan pada 2022, sebanyak 14 kematian direkodkan daripada 6,080 jumlah kematian (0.23 peratus),” katanya.

Sementara itu, Loke berkata kerajaan sedang mengkaji cadangan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan mahkamah mengarahkan pesalah yang disabitkan dengan kesalahan serius membayar pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya atau waris yang sah.

“Cadangan ini bukan bertujuan menggantikan tindakan sivil, tuntutan insurans atau apa-apa remedi undang-undang lain yang tersedia kepada mangsa atau keluarga mereka.

“Sebaliknya, ia bertujuan mewujudkan asas perundangan khusus yang memberi kuasa kepada mahkamah, dalam prosiding jenayah berkaitan trafik jalan raya, untuk mengarahkan pesalah membayar pampasan kepada mangsa atau waris mereka yang sah,” katanya.

No comments: