PRN Johor kini jelas memasuki fasa yang lebih serius dan mendebarkan.








Kelmarin, Pakatan Harapan mengumumkan barisan calon yang akan bertanding. Pengumuman dibuat sendiri oleh Pengerusi PH merangkap Presiden PKR, DS Anwar Ibrahim, dengan kehadiran penuh pimpinan utama semua parti dalam gabungan.


Isyarat ini cukup  jelas, PH datang dengan solidarity, disiplin dan kesefahaman yang tersusun. Ini adalah satu lambang keyakinan yang perlu diberi perhatian oleh pengundi di Johor nanti dan memberi impak psikologi yang besar kepada pengundi atas pagar.


Hari ini pula, Barisan Nasional mengumumkan calon mereka. Namun suasananya berbeza. Pengumuman dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO negeri tanpa kehadiran Presiden dan Timbalan Presiden parti.


Timbul persoalan, dalam saat yang begitu penting, kenapa pimpinan tertinggi UMNO seperti menjauhkan diri?  Ia bagai mengesahkan teori bahawa keputusan BN bertanding solo ini telah mewujudkan  garis pemisah yang jelas antara kepimpinan  UMNO pusat  dan UMNO negeri Johor.


Majlis juga terpaksa dilewatkan lebih dua jam atas alasan teknikal. Dalam politik, ini sememangnya petunjuk klasik kepada last-minute horse-trading atau rombakan saat akhir senarai calon di belakang tabir. Seolah olah senarai calon terpaksa mendapat endorsement dari pihak tertentu sebelum benar benar dimuktamadkan.


Agak pelik. Sebagai pihak yang membubarkan DUN, UMNO/BN sepatutnya menjadi paling bersedia. Tetapi yang kelihatan hari ini sebaliknya.


Beberapa keputusan juga mengejutkan. Ketiadaan nama bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, menimbulkan tanda tanya besar.


Pencalonan Alawiyah Talib di DUN Endau turut mengundang persoalan, seorang bekas pemimpin Bersatu yang baru meninggalkan parti, kini diangkat sebagai calon. Adakah UMNO tiada calon yang lebih kredible sehingga sanggup mengangkat semula individu yang pernah meninggalkan perjuangan mereka?


Pencalonan semula Dato’ Dr Adham Baba pula sesuatu yang menarik. Reputasi beliau sebagai Menteri Kesihatan pernah dipersoal -  dikatakan gagal ketika krisis Covid-19.


Kecanggungan ini bukan sekadar persepsi luar. Veteran UMNO, Dato’ Dr Puad Zarkashi sendiri menyuarakan keraguan, menyifatkan pemilihan calon kali ini seperti “ada sesuatu yang tak kena”, dan dijangka akan memperincikan perkara tersebut dalam masa terdekat.


MB Johor Onn Hafiz dilihat sedang berdepan tekanan hebat dan  berterusan daripada isu enggan duduk semeja dengan DAP hinggalah kepada kontroversi pembatalan Hari Felda sehingga dikatakan beliau terpaksa 'menjual airmata' demi simpati.


Sejujurnya, UMNO/BN dilihat bakal berdepan laluan yang sukar dalam PRN kali ini. Kesilapan demi kesilapan  yang boleh dianggap sebagai 'menembak kaki sendiri'.


Sebelum pembubaran DUN, mereka dilihat memiliki kelebihan. Namun menjelang hari pencalonan, kelebihan itu semakin terhakis dan semakin goyah.


Dalam masa yang sama, Perikatan Nasional pula berada dalam keadaan paling tidak stabil. Pergeseran dalaman antara komponen utama semakin ketara, dengan hubungan antara Bersatu dan PAS telah pun ditamatkan.


Kehadiran parti baharu yang dikaitkan dengan Hamzah Zainuddin pula menambah lagi kerumitan, apabila ia tidak diterima secara terbuka oleh kepimpinan Bersatu sendiri.


Malah isu penggunaan lambang PN masih belum mampu mencapai kata sepakat, menunjukkan gabungan PN ni bukan berada diposisi terbaik untuk memberi cabaran bermakna dalam PRN kali ini.


Pengundi Johor hari ini bukan lagi kelompok yang boleh diumpan dengan retorik kosong atau air mata politik saat akhir; mereka adalah pengundi matang yang mendambakan kestabilan sebenar demi kelangsungan ekonomi dan masa depan negeri.


Isyarat solidarity yang padu ditampilkan oleh Pakatan Harapan di Bukit Gambir kelmarin bukan sekadar gimik pelancaran, tetapi merupakan bukti sahih bahawa mereka adalah satu-satunya gabungan yang paling stabil, padu, dan bersedia untuk mengemudi Johor. 


Taruhan kini di tangan rakyat Johor untuk memilih kestabilan yang nyata bersama PH, atau membiarkan masa depan negeri terperangkap dalam percaturan elit politik yang tak kesudahan.


Dato Dr Suhaimi Ibrahim.





No comments: