Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pengurusan ekonomi negara berada di landasan tepat apabila Malaysia terus mencatat pertumbuhan lebih baik daripada jangkaan walaupun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan kenaikan harga minyak global.
Menurut beliau, prestasi ekonomi negara pada tahun lalu serta suku pertama tahun ini berjaya melepasi unjuran awal kerajaan meskipun harga minyak mentah dunia melonjak lebih tinggi daripada anggaran asal.
“Masa kita buat unjuran ekonomi sekitar AS$70 setong, sekarang sudah lebih AS$100 setong.
“Tetapi Alhamdulillah dalam keadaan begitu pun prestasi pertumbuhan ekonomi kita lebih tinggi daripada unjuran,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2025 di Bukit Jalil hari ini.
Anwar berkata kerajaan perlu terus memberi perhatian serius terhadap pengurusan ekonomi negara terutama dalam mendepani tekanan kos dan ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau turut mengaitkan pencapaian ekonomi negara dengan semangat atlet Malaysia yang berjaya mencipta prestasi lebih baik daripada sasaran.
Katanya, kejayaan atlet negara membuktikan bahawa usaha berterusan dan disiplin mampu menghasilkan keputusan lebih baik walaupun berdepan cabaran besar.
“Selain ekonomi, sukan negara juga menunjukkan prestasi lebih baik daripada sasaran,” katanya lagi.
Ucapan tersebut hadir ketika kerajaan MADANI terus menekankan kestabilan ekonomi, pengurusan fiskal dan keyakinan pelabur dalam suasana global yang semakin mencabar akibat perang, inflasi dan ketegangan geopolitik.
No comments:
Post a Comment