Pas tak berani namakan Samsuri calon PM, Faiz kata PN jelas ketandusan pemimpin


 


Pemimpin AMANAH membidas kenyataan Penolong Setiausaha Agung Pas, Syahir Sulaiman yang cuba menafikan dakwaan parti itu ketandusan pemimpin susulan pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang.

Setiausaha Agung AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, pelantikan Dr Samsuri itu dilihat sekadar untuk mengisi jawatan tersebut kerana Pas tidak mahu kedudukan itu diserahkan kepada Bersatu.

Beliau berkata, meletakkan ketua pembangkang yang gagal berfungsi dengan baik sama seperti persembahan badut – sekadar menghiburkan bagi memenuhi bayaran tiket tetapi tiada mesej.

“Begitulah Pas, sekadar mengisi jawatan kerana tidak mahu menyerahkan kepada Bersatu. Sedangkan kemampuan menjadi ketua pembangkang tidak memenuhi kelayakan mengambil kira peranan sebagai Ahli Parlimen selama ini,” katanya.

Faiz mempersoalkan logik PN yang sanggup melantik Dr Samsuri sebagai Pengerusi PN dan Ketua Pembangkang, namun masih enggan mengisytiharkan beliau sebagai calon Perdana Menteri pakatan itu.

“Bila ditanya adakah Dr Samsuri calon PM, Pas nafikan. Bagi saya, kenyataan Syahir satu perkara ‘lawak’ atau dalam erti kata lain, Pas ibarat badut, sekadar menghiburkan. 

“Apabila Pas gagal menamakan Dr Samsuri sebagai calon PM, walaupun setelah dinamakan sebagai Pengerusi PN dan Ketua Pembangkang, jelas Pas dan PN ketandusan calon sesuai. 

“Jika ini berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU), sudah pasti kestabilan politik boleh berlaku dan pentadbiran kerajaan kucar-kacir,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harapan Daily hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Syahir yang mengatakan parti itu tidak ketandusan pemimpin, sebaliknya mendakwa PH yang ketandusan pemimpin kerana bergantung kepada populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Syahir yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, di Terengganu telah terbukti keupayaan Dr Samsuri sebagai menteri besar dibantu oleh exco-exco yang sama laju dengan beliau.

Sementara itu, Faiz mempertikaikan kegagalan Syahir dalam menjelaskan wawasan atau dasar ekonomi yang pernah dikemukakan Dr Samsuri, sekali gus mempersoalkan kelayakan beliau untuk memegang jawatan sepenting Ketua Pembangkang.

Faiz membuat perbandingan langsung dengan Perdana Menteri, yang menurutnya telah membuktikan kewibawaannya menerusi peranan sebagai Ketua Pembangkang yang berkesan sebelum ini.

“Tiada perbahasan yang berwibawa oleh Dr Samsuri yang boleh dinilai. Tidak seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, kewibawan beliau sebagai PM sudah dinilai lebih awal dengan peranan beliau sebagai Ketua Pembangkang yang berkesan dan bertenaga sebelum ini. 

“Maka, tidak hairan hari ini, pertumbuhan ekonomi negara melonjak, ringgit mengukuh dan pelbagai insentif bantuan kepada rakyat diperkenalkan,” ujarnya.

Justeru, Faiz menyeru rakyat untuk menilai keupayaan Pas dan PN dalam pilihan raya akan datang dengan tidak menggadaikan negara ini hanya kerana termakan “tipu daya badut” yang bermain dengan isu perkauman.

No comments: