DIA SEDANG CARI TAPAK









 

EMPAT PILIHAN UNTUK HAMZAH
18 Mei 2026
Ke mana hala tuju Hamzah Zainuddin selepas ini?
Sepatutnya dan sudah jika tiada bantahan, empat parti baharu - Berjasa, Pejuang, Putra dan Iman - dijadualkan akan diterima sebagai komponen baharu PN pada mesyuarat gabungan itu, Sabtu lalu.
Salah satu parti itu, Berjasa adalah parti yang dirancang untuk diambil alih oleh Hamzah Zainuddin, bekas Timbalan Presiden Bersatu, selepas saja ia diterima masuk ke dalam rumah PN.
Difahamkan, selepas diambil alih, nama Berjasa akan ditukar kepada nama baharu yang komtemporari, sedap didengar dan menggambarkan hasrat perjuangan yang inklusif dalam politik semasa.
Sayangnya perkara itu tidak berlaku dan bukan saja Berjasa, malah tiga parti lain juga tidak diluluskan kemasukannya ke dalam PN.
Dalam kenyataan media selepas mesyuarat PN Sabtu lalu, soal kemasukan itu langsung tidak disebut, walhal difahamkan memang ada agenda berkaitan permohonan empat parti itu.
Yang disebut oleh Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PN dalam kenyataan medianya ialah gabungan itu setuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya atau electoral pact bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan dengan PN.
Lalu, ke mana dan apa hala tuju Hamzah selepas ini?
Berikut beberapa pilihan yang boleh dipertimbangkan oleh beliau bagi meneruskan perjuangannya.
Pertama, teruskan usaha mengambil alih Berjasa sebagaimana dirancang sebelum ini, tetapi jangan lagi berharap untuk melibat Berjasa diterima sebagai komponen PN.
Kalau ketika Berjasa bukan diketuainya pun, parti itu gagal diterima masuk sebagai komponen PN, sudah tentu ada pihak-pihak tertentu dalam gabungan itu akan lebih keras menolak kemasukannya setelah ia diketuai Hamzah.
Matlamat utama mengambil alih Berjasa hanyalah untuk menjadikan wadah baharu dalam karier politiknya.
Beliau boleh membina semula parti itu lebih berjaya berdasarkan pengalaman, pengetahuan, kedudukan kewangan dimiliki dan sokongan besar Ahli Parlimen serta Adun yang sekarang bersamanya.
Berikutan PN sendiri telah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan mana-mana parti yang sealiran, setelah membina Berjasa nanti, termasuk menukar namanya, Hamzah boleh membawa parti itu untuk bekerjasama dengan PN demi lebih memungkinkan gabungan itu berjaya memenangi PRU akan datang.
Atau setidak-tidaknya, Hamzah dan partinya hanya bekerjasama dengan PAS saja.
Kedua, jika ada halangan tertentu yang tidak boleh dipersetujui untuk mengambil alih Berjasa, Ahli Parlimen Larut itu harus mencari parti lain yang sedia berdaftar dengan RoS untuk diambil alih.
Mendaftarkan parti baharu bukan pilihan yang sesuai ketika ini kerana prosesnya memakan masa yang lama, sedangkan tarikh PRU16 sudah semakin dekat.
Hamzah patut mencontohi langkah Rafizi Ramli yang secara diam-diam sudah pun selesai mengambil alih Parti Bersama Malaysia.
Seterusnya, bersama parti itu, beliau boleh menjalin kerjasama, sama ada dengan PN, BN atau PH.
Bahkan pasti bergegar politik negara jika Hamzah dapat membawa partinya bekerjasama dengan Rafizi dan menjadi blok baharu.
Seperti mana diketahui umum, Hamzah memiliki pengalaman serta banyak pengetahuan dalam percaturan politik negara dan semua itu pasti bermanfaat untuk parti baharunya nanti.
Ketiga, hubungan Hamzah selama ini begitu rapat dengan PAS dan dalam pergolakan antara beliau dengan Bersatu sebelum ini, PAS memang sentiasa bersama dengannya.
Cuma mungkin ada halangan tertentu yang menyebabkan PAS tidak berupaya memperjuangkan kemasukan Berjasa ke dalam PN sehingga ke titik perjuangan terakhir.
Sedemikian, Hamzah dan pengikutnya boleh terus menyertai PAS bagi memperkuatkan parti menghadapi PRU16 akan datang.
Hamzah tidak mungkin janggal jika menyertai PAS kerana, sekadar contoh, dua rakan baiknya iaitu Annuar Musa dan Shahidan Kassim, sudah pun sedia berada dalam parti Islam itu.
Dengan Hamzah, semua Ahli Parlimen dan Adun Bersatu yang menyokongnya, Ketua Bahagian dan lain-lain pimpinan menyertai PAS, ia secara langsung akan menambahkan kekuatan PAS serta memungkinkan parti itu menang lebih banyak kerusi lqgi.
Keempat, menyertai UMNO di bawah Projek Rumah Bangsa yang diilhamkan oleh Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam keadaan UMNO mula berbalah serta bermasam muka dengan PH, antaranya disebabkan isu menarik sokongan di Negeri Sembilan dan keinginan UMNO Johor mahu bertanding solo di 56 kerusi DUN negeri itu, Presiden UMNO tentu saja sangat mengalu-alukan kemasukan Hamzah bersama Ahli Parlimen dan Adun yang menyokongnya menyertai parti itu.
Malah, dengan pengaruh dan kedudukan Hamzah, dengan menyertai UMNO, beliau amat berpotensi untuk mengembalikan UMNO sebagai parti yang dominan sebagaimana diimpikan Zahid Hamidi.
Selain empat pilihan di atas, Hamzah juga mungkin pilihan lain yang lebih strategik sedang dalam pertimbangannya sekarang ini.
Terserah kepada beliau membuat pertimbangan dan pilihan paling baik.
Tetapi, mengalah, mengundur diri dan bersara daripada politik bukanlah pilihan yang wajar buat Hamzah kerana jika itu pilihannya, pimpinan Bersatu yang berjaya menyingkirkannya pasti akan sakan bergembira. - ShahbudinHusin 18MEI 2026.




No comments: