Ini tiga tonggak penting buat ahli politik, jangan gopoh kejar kuasa


 


Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH), Wan Anwar Wan Ibrahim menegaskan bahawa kestabilan organisasi, kesabaran dalam perjuangan dan pertembungan idea secara sihat merupakan tiga tonggak utama untuk mencapai kejayaan dalam politik dan kepimpinan.

Beliau menggunakan pelbagai contoh tokoh sejarah Islam dan dunia bagi menggambarkan bagaimana kejayaan besar sering lahir daripada keupayaan seseorang pemimpin untuk menahan diri, kekal setia kepada perjuangan dan menunggu masa yang sesuai.

Wan Anwar memulakan hujahnya dengan mengimbau kisah tokoh Islam, Khalid al-Walid yang menerima keputusan Saidina Umar al-Khattab menggugurkannya daripada jawatan panglima perang demi memastikan kemenangan umat Islam tidak dikaitkan dengan individu tertentu.

Menurutnya, Khalid memilih untuk mengekalkan kestabilan umat dan terus berjuang kerana Allah, bukan kerana manusia.

Beliau turut mengaitkan sikap bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor yang kekal bersama parti itu walaupun tidak bersetuju dengan penyertaan Pas dalam Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, Fadzil Noor memahami pentingnya mengekalkan kestabilan parti sebagai wadah politik alternatif sebelum akhirnya memimpin Pas menjadi kekuatan utama dalam Barisan Alternatif.

Membuka jalan

Wan Anwar juga menyifatkan Perjanjian Hudaibiyah sebagai contoh terbaik kesabaran strategik apabila perjanjian yang pada awalnya dianggap merugikan akhirnya membuka jalan kepada pembukaan Kota Makkah.

Selain itu, beliau merujuk kepada pengalaman Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah diketepikan ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Namun, ujarnya, Mahathir menggunakan tempoh tersebut untuk meneliti kemajuan Jepun dan Korea Selatan sebelum melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur apabila menjadi Perdana Menteri menjadikan Malaysia antara yang terkuat di Asia Tenggara.

“Presiden Xi Jinping juga bersabar hingga akhirnya permohonan kali ke-10 beliau untuk menjadi ahli Parti diluluskan.

“Selepas itu, beliau terus membuktikan kemampuan tanpa heboh dan China di bawah kepimpinan beliau kini bersaing rapat dengan Amerika Syarikat,” kata beliau menerusi satu hantaran di Facebook pagi ini.

Wan Anwar seterusnya menekankan bahawa pertembungan idea dan persaingan yang sihat juga penting dalam membina kekuatan sesebuah negara.

Beliau merujuk persaingan antara tokoh perniagaan seperti Vanderbilt, Rockefeller, Carnegie, Morgan dan Ford yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi Amerika Syarikat (AS).

Beliau turut menyebut pertembungan politik antara William Gladstone dan Benjamin Disraeli yang silih berganti sebagai Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang, sekali gus memperkukuh kedudukan British sebagai empayar terkuat pada zaman mereka.


No comments: