Syok sendiri bergerak solo, Lokman bimbang BN Johor berkubur


 

Syok sendiri bergerak solo, Lokman bimbang BN Johor berkubur

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Adam tampil memberi peringatan keras bahawa langkah Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo di Johor boleh membawa padah besar kepada parti itu dalam pilihan raya akan datang.

Dalam ucapan yang tular di media sosial, beliau menegaskan bahawa realiti politik Johor hari ini tidak lagi sama seperti dahulu, terutama dengan komposisi pengundi bukan Melayu yang tinggi serta perubahan corak sokongan pengundi Melayu selepas landskap politik negara berpecah.

Menurutnya, walaupun Johor masih dianggap kubu kuat Umno dan BN, parti itu tidak boleh “syok sendiri” dengan pencapaian lalu.

“Johor memang lebih baik daripada negeri lain. Kita tidak nafikan sokongan orang Melayu terhadap Umno di Johor masih lebih baik, pelaburan asing terbaik, bantuan kerajaan negeri terbaik.

“Tapi realitinya pengundi Melayu di Johor hanya sekitar 55 peratus, manakala bukan Melayu 45 peratus. Dalam keadaan sokongan Melayu sendiri sudah berpecah, bagaimana kita mahu menang jika bergerak solo?” katanya.

Beliau berkata, walaupun Umno Johor mungkin mampu memperoleh sekitar 50 peratus sokongan Melayu, ia masih tidak mencukupi tanpa sokongan pengundi Cina dan India.

Katanya lagi, berdasarkan pengalaman pilihan raya lalu, sokongan masyarakat Cina kepada BN amat rendah, malah hanya sekitar tiga peratus di peringkat nasional, manakala masyarakat India sekitar 10 peratus.

“Kalau pun kita optimis dapat 30 peratus undi bukan Melayu di Johor, ia masih tidak cukup untuk mengekalkan kemenangan besar yang kita kecapi sebelum ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menegur sebahagian kepimpinan yang terlalu bergantung kepada sentimen akar umbi tanpa mengambil kira data sebenar di lapangan.

“Akar umbi berfikir berdasarkan maklumat yang mereka ada. Kepimpinan pula ada data dan fakta lebih lengkap. Tanggungjawab pemimpin ialah membentuk pandangan akar umbi, bukan sekadar ikut sentimen,” katanya lagi.

Beliau turut memberi amaran bahawa pertembungan pelbagai penjuru melibatkan BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) hanya akan membuka ruang kepada kekalahan lebih besar.

Menurutnya, kemenangan besar BN dalam PRN Johor sebelum ini juga tidak boleh dijadikan ukuran mutlak kerana dipengaruhi faktor luar biasa ketika pandemik Covid-19.

“Kita menang bukan sebab kita terlalu kuat. Ketika itu ramai pengundi Cina tidak keluar mengundi kerana takut Covid-19.

“Sebab itu daripada 56 kerusi yang ditandingi dalam PRN Johor, BN menang 40 kerusi. Tetapi lapan bulan kemudian dalam PRU, prestasi merosot dengan ketara,” katanya.

No comments: