Didakwa ‘broker’, anak Mursyidul Am lapor polis hantaran Facebook Arman Ashaari






|PERLIS| : Anak kepada Mursyidul Am Pas, Faiz Hashim membuat laporan polis berkaitan satu hantaran di laman Facebook Arman Ashaari yang didakwa berunsur fitnah, jahat dan berpotensi mengaibkan institusi Diraja Perlis. 


Menurut Faiz, pihaknya membuat laporan selepas menemui hantaran terbabit menerusi laman facebook itu dipercayai sebuah akaun palsu yang sengaja diwujudkan bagi menyerang dia bersama ayahnya. 


Beliau berkata, kandungan hantaran tersebut telah menuduh dirirnya sebagai ‘broker’ dalam urusan pelantikan Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri serta bertindak atas pengaruh Raja Perlis. 


“Malah, kandungan tersebut turut menuduh saya sebagai ejen yang membawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas melanggar arahan parti serta melakukan perbuatan khianat dalam menentukan jawatan Menteri Besar dan Exco. Tuduhan-tuduhan tersebut adalah tidak berasas, bersifat fitnah serta berniat untuk mencemarkan nama baik saya dan keluarga,” katanya di sini, hari ini. 


Faiz berkata, lebih membimbangkan, hantaran tersebut turut mengandungi unsur yang dapat menjatuhkan air muka Raja Perlis dan institusi Diraja negeri ini.


“Saya amat berdukacita dengan tuduhan yang dibuat oleh akaun palsu ini, ia bukan sahaja menyerang peribadi saya dan ayah saya, malah cuba mengaitkan dan mengaibkan institusi Diraja Perlis kepada pengetahuan orang awam,” katanya. 


Ujar Faiz, beliau percaya pemilik akaun palsu itu mempunyai kaitan dengan beberapa individu lain yang memberikan komen ekstrem bagi mempertahankan kandungan hantaran tersebut. 


Berikutan itu, Faiz memohon agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan siasatan terperinci terhadap kiriman terlibat dan menggesa tindakan segera memandangkan isu itu bukan sahaja mencemarkan reputasi individu, malah maruah institusi Diraja Perlis.


“Saya memohon agar pihak polis bertindak pantas dan pelaku di sebalik hantaran ini dapat dikesan serta ditangkap dengan segera,” katanya.


-Yb Peghelih-


#yellowblue #gerbangceritaperlis #ybpeghelih #podcast #perlis



No comments: