
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri di Perdana Putra, Putrajaya pada 7 Mac 2025. Foto Facebook Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR, 7 Mar – Semua badan penguat kuasa dan agensi keselamatan diarahkan mengambil tindakan cepat, berkesan serta tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut menggunakan isu perkauman atau agama.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan pengambilan tindakan tegas itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, selain isu itu yang kini tular dalam media sosial, mesyuarat turut membincangkan dan meneliti pelbagai lagi isu semasa.

“Semua pihak diingatkan supaya memelihara perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat dengan memupuk persefahaman dan hormat-menghormati antara satu sama lain, serta sentiasa mematuhi undang-undang negara demi kesejahteraan bersama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Anwar dilapor memberikan amaran supaya mana-mana pihak, terutama parti-parti politik di negara ini, tidak ‘menunggang’ isu agama dan kaum untuk kepentingan peribadi.

Bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Teras Jernang di Bangi, hari ini, Perdana Menteri dipetik menegaskan, perbuatan itu akhirnya akan memusnahkan keharmonian antara kaum dan rakyat.
Beliau sekali gus mengingatkan bahawa isu agama tidak boleh dijadikan senjata politik kerana tindakan sedemikian seperti membakar diri sendiri.
No comments:
Post a Comment