Menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin Ekonomi APEC 2024 bersama tetamu yang dipengerusikan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra.
Dalam sesi ini, saya menegaskan bahawa dunia kini saling berhubung serta bergantung pada suatu tahap yang menuntut kita menilai semula maksud sebenar kerjasama dan keberhasilan bersama.
Ekonomi APEC perlu juga beralih daripada langkah reaktif kepada kerjasama ekonomi yang proaktif dan berdaya tahan.
Ia turut perlukan integrasi digital, pembiayaan hijau yang mantap, serta rantaian bekalan yang adil dan telus.
Selain itu, rangkaian digital rentas sempadan mampu memperkukuh daya tahan global. Sebagai contoh, kerjasama dengan platform seperti OECD boleh merapatkan jurang digital melalui akses digital yang mampu milik.
Turut disentuh adalah terkait genosid yang dilakukan terhadap rakyat Palestin. Ternyata kita tidak boleh mengabaikan penderitaan golongan ini yang menjadi mangsa pembunuhan kejam, keganasan, penganiayaan dan pencerobohan rejim Zionis Israel.
Kita mesti bertindak segera untuk menamatkan segala penderitaan yang berlaku termasuk yang dihadapi golongan miskin.
Saya bangkitkan juga soal APEC dan BRICS yang harus memanfaatkan kekuatan bersama untuk membentuk semula struktur kuasa ekonomi dengan tumpuan kepada inovasi lestari dan perdagangan yang saksama.
Dengan mengutamakan pelaburan dalam teknologi hijau, kewangan digital, dan infrastruktur mampan, kerjasama ini mampu mencetuskan model pembangunan inklusif yang memberi manfaat kepada seluruh rantau.
Sebagai peneraju, APEC perlu mencipta sejarah dengan tindakan berani yang menjamin kemakmuran yang mampan dan adil untuk generasi akan datang.
#MalaysiaMADANI
#APEC2024