Pendedahan dan usaha penyiasatan bagi maksud pendakwaan terhadap GISB hanyalah ‘tip of the iceberg’.
Saya menerima nasihat berbagai rakan dan teman khususnya yang berada dalam Kabinet agar saluran dalaman dimanfaatkan sebelum dilontarkan di media sosial. Alhamdulillah, termasuk isu GISB saya telah gunakan semua laluan dalaman. Namun, tatkala tiada yang berkesan…saya kongsikan secara terbuka.
Dalam kegemparan isu GISB ini, kumpulan pengkaji dan pihak² aktivis yang ditendang bagaikan bola oleh pihak berkuasa agama; adalah hero sebenar yang ambil risiko besar.
Saya bukan untuk menabalkan sesiapa sebagai hero. Tidak. Tapi mereka melalui jalan berliku untuk tarik perhatian pihak berkuasa. Persoalannya, kenapa pihak berkuasa agama acuh tidak acuh terhadap pembentangan dan laporan kajian mereka?!
Setelah beberapa pihak berkuasa agama tidak mahu ambil serius pembentangan mereka, mereka mendaki naik ke utara bertemu SS Mufti Perlis, Prof. Dato’ Dr MAZA Channel. Melalui meja ceramah dan podcast beliau, kes ini mula menarik perhatian awam.
Namun, walaupun sudah kecoh, tetap tiada tarikan dari mana² pihak berkuasa agama khususnya di Putrajaya dan terlebih khusus JAKIM. Perlu diingat, kajian & dapatan tentang GISB di JAKIM telah dibuat lebih awal dari 2013 lagi. Untuk menyatakan JAKIM tiada maklumat, amat naif dan bodoh.
Jagat maya (antaranya PUKAS Malaysia & Scam No One) digerakkan untuk memastikan momentum kes ini terus menarik perhatian dengan pendedahan² yang asli. YB Menteri Agama, Dato' Setia Dr. Naim meminta JAKIM sedikit bertindak dan bergerak. Namun, jagat maya tidak melihat apa² hasil.
Setelah melihat keringat rakan² yang mendedahkan isu GISB ini sangat bersungguh, saya memutuskan untuk luahkan rasa geram akan respon pihak berkuasa agama berhubung isu GISB. Hasilnya, benarlah, begitu banyak alasan diberikan sebahagian pihak berkuasa agama apabila dapatan kajian pasukan pengkaji itu dibentangkan.
Rentetan dari luahan saya, saya menerima respon yang sangat baik dan proaktif dari Menteri Agama. Hanya beliau yang ‘turun gunung’ bertanya dan mahukan beberapa kepastian. Tiada mana² badan agama apatahlagi JAKIM yang menerima bajet tahunan hampir RM2 bilion itu, bertanya dan bersungguh seperti Menteri Agama.
Lebih awal dari itu, Ketua Polis Negara Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ), Tan Sri Razaruddin boleh dianggap watak penting menggerakkan Ops Global menyasarkan rangkaian GISB.
Juga kepada Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Komunikasi, Saudara Farhan Zulkefly yang berhubung untuk dapatkan gambaran jelas apa yang terjadi.
Terima kasih khas kepada YAB Perdana Menteri, DS Anwar Ibrahim, kerana turut cakna perkara ini. Dan diharapkan, reformasi besar-besaran di tubuh JAKIM dimulakan dan dipercepatkan.
Sebelum ini, saya kongsikan pada Setiausaha Politik Menteri Agama, bahawa teguran dan perbincangan sudah terlalu banyak dalam reformasi JAKIM. Yang diperlukan adalah tindakan! Kalau ingin benar-benar berubah, JAKIM boleh mula merombak Cawangan Akidah, Bahagian Penyelidikan dan mengembalikan Dr. Aizam Mas'ud ke Bahagian Penyelidikan dan Kajian Akidah.
Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin
Kuala Lumpur
12 September 2024
8 Rabi’ al-Awwal 1446H