Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan memohon maaf di hadapan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan beberapa menteri kabinet yang hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat Kedah, semalam.
Sanusi berkata, permohonan maaf itu adalah bagi ucapan yang kurang sesuai yang pernah diucapkannya dalam konteks ‘hablumminannas’ (hubungan sesama manusia) selama beliau berkhidmat sebagai Menteri Besar Kedah dan atas kapasiti politiknya.
“Sebagai insan yang lemah, keterlanjuran dan kesilapan pastinya ada dalam diri kita masing-masing.
“Semoga pertemuan dalam bulan Syawal yang mulia ini akan menjadi asbab untuk kita mulakan lembaran baharu serta sama-sama melangkah dengan hati yang bersih, ikhlas dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PN berkata, kepentingan rakyat harus mengatasi keghairahan untuk mengekalkan kuasa politik dan segala perkara yang bersifat politik sepatutnya hanya dibawa ke medan politik.
Alhamdulillah, bagus Sanusi ni, ringan mulutnya untuk meminta maaf.
Sebagai manusia dan dalam hubungan sesama manusia, memanglah kita tidak lepas daripada melakukan kesalahan.
Terutama ketika berucap di pentas politik, lantaran ghairah, seseorang itu kadang-kadang tidak sedar dan tidak dapat mengawal dirinya.
Sehubungan itu meminta maaf atas keterlanjuran kata-kata adalah sifat yang terpuji.
Meminta maaf bukan semestinya perlu dilakukan bila tiba Hari Raya saja, tetapi bila-bila masa, sebaik-baiknya sejurus kita sedar telah melakukan kesalahan.
Dalam konteks Sanusi, tindakannya meminta maaf memang harus dipuji kerana sebagai Menteri Besar, terutama ketika kempen PRU15 dan PRN Kedah yang lepas, beliau barangkali banyak mengungkapkan kata-kata yang tidak sesuai terhadap Anwar dan beberapa menteri.
Tambahan lagi, Sanusi ini seperti kita sedia maklum, beliau jenis “mulut lepas” sikit dan mudah saja mengata dalam bahasa yang tidak enak kepada musuh-musuh politiknya.
Selain Anwar, rasa-rasanya Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri adalah pemimpin paling banyak sekali dikatanya, ketika PRN Kedah yang lepas itu.
Berbanding pemimpin pembangkang lain, Sanusi bagaimanapun nampaknya tidak kekok untuk meminta maaf atas keterlanjuran kata-kata yang pernah dilafazkannya.
Sekali lagi, memang bagus dan terpuji sekali tindakan Sanusi ini, cuma lepas ni janganlah berlebih-lebih lagi mengata Anwar dan menteri-menteri kabinet yang sudah beliau minta maaf itu.
Terutama dalam kempen PRK Kuala Kubu Baru yang mana Sanusi setakat ini antara yang paling kerap turun padang dan dijangka banyak kali lagi akan turun berkempen, kawallah bahasa pengucapannya agar tidak terlalu celupar dan “bermulut lepas” seperti sebelum-sebelum ini.
Kalau masih mengata lagi dan terkeluar pula bahasa-bahasa tidak manis selepas ini, kata-kata maaf yang diucapkan semalam itu tidak ubah seperti jatuhnya air ke atas daun keladi saja.
Takkan Sanusi jenis begitu kot? – ShahbudinHusin 5Mei2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/05/05/bagus-sanusi-minta-maaf-pada-anwar-tapi-janganlah-mengata-lagi-lepas-ini.html